1. Orang Melayu di Tanah Melayu dahulu adalah orang bandar, bukannya orang kampung. Tetapi bandar dalam pemikiran orang Melayu dahulu merujuk kepada satu penempatan dengan struktur sosial, ikatan budaya, penguatkuasaan undang-undang dan susunan politik yang tersendiri, bukan seperti bandar dalam definisi Barat dan dunia secara amnya hari ini.
2. Bandar dalam pemikiran orang Melayu dahulu tidak ditentukan dengan bahan binaan bangunannya dan apa-apa peralatan moden sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan kita hari ini. Ia adalah bandar walaupun tidak ada bangunan berkaca yang tinggi, tidak ada keretapi laju dan tidak ada internet. Cubaan mendefinisikan penempatan orang Melayu dahulu dengan ciri-ciri bandar moden hari ini hanya akan mengundang salah faham yang kemudiannya akan berakhir dengan kesimpulan bahawa orang Melayu dahulu adalah orang kampung. Dan ini membawa kepada satu lagi kesalahan seterusnya iaitu mitos bahawa Barat dan Cina di zaman penjajahan telah memajukan orang Melayu dan mengangkat mereka dari masyarakat kampung kepada masyarakat bandar.
3. Bandar dalam minda masyarakat Melayu dahulu merujuk kepada penempatan dengan ciri ‘madinah’ yang ‘makmur’ dan ‘hadhari’. ‘Madinah’ bermaksud satu susunan masyarakat yang bersosial dengan baik. ‘Makmur’ bermaksud ‘umran’ atau ‘imarah’ iaitu satu kawasan yang hidup, aktif dan pesat dengan aktiviti makhluk bernyawa iaitu manusia. ‘Hadhari’ bermaksud ‘hadir’ iaitu terkini; merujuk kepada satu bentuk kehidupan yang terkini di zamannya (moden dalam bahasa orang sekarang).
4. Melaka sebagai contoh adalah satu penempatan yang aktif dengan aktiviti manusia yang ramai, mereka bersosial dalam satu budaya sosial yang baik dan dikawal oleh undang-undang serta segala yang terkini di zaman itu ada di Melaka; seperti kapal yang paling canggih, sistem pentadbiran yang paling berkesan, produk yang paling baru dan sebagainya. Dan begitulah juga dengan penempatan yang lain seperti Kuala Kedah, Riau, Patani dan lain-lain.
Dan semua itu; madinah, makmur dan hadhari itu melengkapkan makna peradaban dalam bandar-bandar Melayu itu.
5. Bila Barat datang, Barat memberikan definisi baru kepada bandar. Mereka membina bandar baru dengan definisi tersebut. Ciri-ciri lain pula menjadi ciri utama kepada apa yang dipanggil sebagai bandar. Antara ciri yang menonjol dalam bandar dengan definisi baru itu seperti aktiviti ekonomi tanpa mengira apa jenis aktiviti tersebut, kelas-kelas sosial yang membezakan antara masyarakat, penerimaan budaya luar serta percampuran budaya dan sebagainya. Ciri-ciri yang ditonjolkan itu menenggelamkan pula ciri-ciri bandar orang Melayu sebelum ini seperti keharmoniaan sosial, kesopanan masyarakat, ikatan kekeluargaan sebagai nukleus masyarakat dan ciri-ciri lain.
6. Berlaku dua aktiviti serentak dari pihak Barat; membangunkan penempatan baru dengan ciri-ciri bandar baru mengikut fahaman mereka dan mengubah ciri-ciri penempatan Melayu sedia ada kepada ciri-ciri bandar baru tersebut. Kampung-kampung baru yang dibina oleh British untuk orang Cina yang kemudiannya menjadi bandar-bandar hari ini adalah contoh bagi yang pertama. Melaka dan Singapura pula adalah contoh bagi yang kedua. Penempatan yang tidak menerima ciri-ciri itu pula akan dipanggil kampung atau desa atau bahasa mudahnya dipanggil luar bandar.
7. Kesan jangka panjang dari itu semua adalah perubahan jati diri dan identiti Melayu. Melayu berubah menjadi manusia yang sama cara fikir dan gaya hidupnya seperti orang Barat walaupun kulitnya masih sawa matang dan matanya belum lagi bertukar biru atau hijau. Kalaulah kita boleh – seperti di dalam filem – membangkitkan orang Melayu yang hidup di zaman Melaka dahulu untuk mereka melihat Melaka pada hari ini, nescaya mereka akan terkejut kerana identiti masyarakatnya sudah berubah jauh. Bukan dari sudut cara pakai dan bentuk bangunannya, tetapi dari segi tuturkata, kesopanan dan budaya yang sudah jauh berubah.