Perbetulkan niat, jadikan seluruh pekerjaan sebagai ibadah

Firman Allah taala:

“Dan tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku.”
Ayat ini sesungguhnya telah menerangkan dengan jelas bahawa penciptaan manusia adalah untuk beribadah kepada Allah swt semata-mata, tidak ada sebab selain itu. Justeru, apabila telah ditentukan tujuan hidup ini semata-mata untuk beribadah kepada Allah, maka hendaklah seluruh umur kehidupan ini dijadikan untuk beribadah dan mentaati Allah.

Para ulamak telah mendefinisikan ibadah sebagai setiap perkataan dan perbuatan yang zahir dan batin yang diredhai Allah.

Ramai manusia yang lalai terhadap kefahaman yang sempurna mengenai agama ini. Mereka memahami bahawa syiar-syiar agama yang tertentu sahaja seperti solat, zakat, puasa, zikir serta lain-lainnya yang dikira sebagai ibadah,adapun selainnya hanyalah keduniaan semata-mata.

Sedangkan baginda saw telah bersabda: “Sesungguhnya sesuatu amalan itu adalah berdasarkan pada niat dan sesungguhnya setiap orang itu mengikut apa yang diniatkannya.” Niat akan mengubah sesuatu adat kebiasaan seperti kerja, makan dan tidur kepada ibadah.

Sebagai seorang wanita, pernahkah kita terfikir bagaimana niat yang ikhlas dan betul boleh menukar adat kebiasaan harian kita menguruskan rumahtangga kepada suatu ibadah di sisi Allah..?

Ye betul…hanya dengan niat yang ikhlas mampu menggantikan kepenatan kita membersihkan, mengemas dan mengatur rumah, menyediakan pakaian, makan dan minum setiap ahli keluarga, mengurus dan mendidik anak kepada suatu pekerjaan serta amalan yang menyeronokkan, meraih pahala jihad yang besar di sisi Allah taala.

Justeru, mulakanlah hari² kita dengan memperbetulkan niat. Lalu yakinlah bahawa Allah akan memberi kekuatan dan membantu mempermudah urusan kita…Sesungguhnya tiada keringat dan lelah yang tidak diganjari pahalaNya.

 

Ustazah Wirdaningsih 

Ketua Wanita Shah Alam Ahmad

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat