Perbuatan Kibar Jalur Gemilang Terbalik, Perlu Tindakan Undang-Undang

Pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) memandang serius insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Port Dickson. Kejadian ini berlaku pada ketika negara akan menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-68 dan ia adalah sesuatu yang amat sukar diterima oleh rakyat yang cintakan tanah air.

Walaupun pihak terlibat telah tampil memohon maaf, namun kita masih tidak boleh menutup mata terhadap hakikat bahawa kesalahan ini melibatkan simbol kedaulatan negara. Lebih membimbangkan, ini bukanlah kali pertama perkara seperti ini berlaku. Kesilapan pada perkara asas seperti tata cara mengibarkan Jalur Gemilang menunjukkan kelemahan yang berulang dan menimbulkan persoalan tentang tahap kesedaran serta semangat patriotisme di kalangan pihak yang bertanggungjawab.

ISMA menegaskan bahawa:

1. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengambil tindakan tegas terhadap pihak sekolah yang terlibat termasuk siasatan menyeluruh bagi memastikan perkara ini tidak diulang.

2. Latihan dan pemantapan nilai patriotik mesti diwajibkan kepada semua sekolah, agar setiap warga sekolah memahami makna sebenar Jalur Gemilang sebagai lambang negara berdaulat.

3. Garis panduan rasmi dan pemantauan berterusan perlu diperkukuh di semua institusi pendidikan sempena Sambutan Hari Kebangsaan bagi memastikan penghormatan kepada bendera dipelihara.

4. Mesej yang jelas kepada masyarakat bahawa tindakan mengibarkan bendera secara salah, apatah lagi terbalik, adalah satu kecuaian serius yang tidak boleh dijadikan kebiasaan.

5. Demi mendaulatkan undang-undang, tindakan tegas perlu dikuatkuasakan bagi memastikan insiden ini tidak berulang dan menghukum pihak yang lalai atau sengaja mencetuskan provokasi. 

Sebagai rakyat Malaysia, kita wajib memelihara maruah dan kedaulatan negara dengan menghormati simbol rasmi yang menjadi lambang penyatuan rakyat. 

ISMA bertegas menentang sebarang kecuaian yang menjejaskan semangat patriotisme, dan menyeru agar pihak berwajib memastikan perkara seperti ini tidak berulang.

Mohammad Riduan bin Muhammad
Naib Presiden ISMA
4 Ogos 2025

Scroll to Top