Perjuangan Mengikut Kehendak dan Acuan Sendiri

Lahir 68 tahun yang lalu, Malaysia adalah nama baharu yang diberikan kepada Tanah Melayu. Kelahiran ini tidak datang mudah, ia telah memerah darah, keringat dan pengorbanan besar daripada generasi terdahulu. Malaysia lahir dengan membuka pintu kepada sebuah keluarga baharu, terdiri daripada pelbagai bangsa dan budaya. Namun pada “sijil lahirnya” (Perlembagaan Persekutuan) telah dinyatakan dengan jelas, keluarga baharu ini mesti hidup bersama dengan berteraskan identiti Melayu dan Islam.

Malaysia tidak lahir daripada sejarah yang kosong. Tanah Melayu pernah berdiri sebagai sebuah peradaban yang gemilang. 5 abad lalu, tanah ini menjadi pusat perdagangan antarabangsa, pusat penyebaran Islam dan budaya di rantau Nusantara. Bahasa Melayu pula berperanan sebagai lingua franca, bahasa perhubungan yang menyatukan pelbagai suku dan bangsa. Bahkan, Indonesia yang luas dan majmuk itu pun memilih Bahasa Melayu sebagai dasar pembentukan bahasa kebangsaannya. Inilah legasi sejarah besar yang tidak boleh diperkecilkan, apatah lagi dipadamkan.

Hari ini, setelah 68 tahun merdeka, persoalannya adalah, apakah identiti ini masih utuh? Atau semakin terhakis sedikit demi sedikit? Dengan latar belakang isu seperti Jalur Gemilang dipasang terbalik, polarisasi kaum makin melebar di bandar, agihan ekonomi tidak seimbang hingga anak bangsa asal menjadi terpinggir di bumi sendiri, malah undang-undang Islam dipertikai atas nama hak sivil. Semua ini menimbulkan tanda tanya: apakah perjuangan menegakkan identiti Malaysia sudah tidak lagi relevan?

Hakikatnya, perjuangan masih ada, namun masing-masing kita berjuang demi kelangsungan hidup dalam tekanan sosio ekonomi yang semakin mencengkam. Pendapatan meningkat, tetapi kos sara hidup juga melonjak. Kita ingin keluarga berjaya dan selamat. Tetapi malangnya, perjuangan itu sering disempitkan hanya dalam ruang lingkup diri dan keluarga sahaja. Masyarakat kejiranan, komuniti, malah bangsa sendiri semakin dipinggirkan daripada keutamaan. Selagi tidak menyentuh kepentingan peribadi, perkara lain dianggap bukan lagi sesuatu yang perlu dipertahankan.

Inilah titik kelemahan besar kita. Perjuangan mencari sesuap nasi dijadikan alasan untuk mengabaikan perjuangan lebih besar. Identiti Malaysia merujuk kepada kepentingan Melayu, Islam, bahasa, dan warisan peradaban tidak lagi dianggap penting. Ada yang sanggup menggadaikannya kerana sudah hilang rasa sensitif bahawa identiti itu sedang terancam. Akibatnya, masyarakat hilang kehendak yang besar untuk memperjuangkan sesuatu yang lebih tinggi daripada kepentingan diri sendiri.

Walaupun sebahagian masyarakat sudah berkemampuan, kehendak untuk memperbaiki komuniti dan membela masyarakat sekitarnya semakin pudar. Perjuangan terhenti di pintu rumah, hanya setakat memastikan keluarga sendiri cukup makan dan selamat. Di sinilah kita harus insaf, jika generasi terdahulu sanggup berkorban jiwa raga demi memastikan bangsa ini merdeka, apakah kita sanggup menjadi generasi yang membiarkan kemerdekaan itu hanya tinggal nama, sedangkan rohnya mati perlahan-lahan?Kesimpulannya, perjuangan tidak pernah berakhir. Kemerdekaan bukan titik noktah, tetapi amanah untuk diteruskan. Identiti Malaysia yang lahir daripada sejarah dan pengorbanan itu mesti dipertahankan, untuk itu, masyarakat mesti membangkitkan kehendak yang tinggi, bukan sekadar memperjuangkan kepentingan keluarga, tetapi mempertahankan kepentingan bangsa dan negara. Hanya dengan menginsafi perjuangan generasi terdahulu, kita akan lahir sebagai generasi yang yakin, berani dan tegas mempertahankan identiti Malaysia. Tanpa kehendak ini, segala pengorbanan masa lalu akan sia-sia. Dengan kehendak ini, Malaysia akan terus berdiri sebagai sebuah bangsa yang bermaruah dan berdaulat.

Mohd Nasrul Muhaimin Mohd Taib
Naib Presiden ISMA

Scroll to Top