Perkasa Institusi Keluarga Mendepani Cabaran AI: Langkah Strategik Ke Arah Pembentukan Ummah Fadhilah

Kehadiran delegasi antarabangsa dalam ASEAN Family Conference yang bertemakan “The Family Institution in Light of Rapidly Changing Technology and AI-Driven World: Impact of Character, Moral and Values” baru-baru ini membawa isyarat yang cukup besar.

Himpunan perwakilan bukan sahaja dari rantau ASEAN, malah melibatkan delegasi dari Pakistan, Tajikistan, Albania, Amerika Syarikat, Sri Lanka, dan Yaman adalah manifestasi jelas bahawa krisis institusi keluarga yang kita hadapi hari ini adalah masalah sejagat.

Dunia hari ini sedang bergelut dengan fenomena yang saya sifatkan sebagai “The Algorithmic Siege” atau Kepungan Algoritma. Namun, di sebalik ancaman teknologi ini, akar masalahnya jauh lebih dalam.

Seperti yang digariskan dalam Ucapan Dasar Presiden ISMA kali ke-19, kita sebenarnya sedang berdepan dengan arus pemikiran pascamoden dan nilai Barat yang mengakibatkan krisis identiti, keruntuhan institusi keluarga, dan krisis kepercayaan yang parah.

AI dan algoritma hanyalah alat terkini yang mempercepatkan penyebaran krisis ini. Justeru, visi Ummah Fadhilah adalah solusi strategik bagi kemelut dunia Islam ini yang menekankan pembentukan sebuah ummah unggul yang bertapak pada nilai Rabbani, ilmu yang tulen, dan kepimpinan berwawasan serta berintegriti. Malahan, Ummah Fadhilah adalah tunjang utama untuk mengatasi pengasingan pemikiran yang diwarisi daripada kesan penjajahan.

Dalam forum tersebut, saya menekankan bahawa keluarga merupakan institusi asas tamadun dan benteng utama anak-anak dalam memelihara jati diri. Sekiranya institusi ini rosak, maka jati diri ummah juga akan terlerai.

Kita sering dibentangkan dengan data dan statistik membimbangkan seperti kadar perceraian yang meningkat, trend berkahwin lambat, child-free marriage, krisis kelahiran, serta peningkatan kes keruntuhan akhlak remaja. Laporan konvensional sering menyalahkan tekanan ekonomi dan pengaruh media sosial sebagai punca.

Namun, pada hemat saya, itu semua hanyalah simptom. Akar masalah yang sebenar adalah kerapuhan struktur dan peranan dalam keluarga.

Merujuk kepada kajian mendalam oleh Dr. Kamelia Helmy Muhammad dari Universiti Tarablus dalam tesis beliau yang bertajuk “Al-Mawathiq al-Dawliyah wa Atharuha fi Hadam al-Usrah” (Piagam Antarabangsa dan Kesannya dalam Meruntuhkan Institusi Keluarga), beliau membongkar satu realiti yang membuka mata.

Kajian ini mendedahkan bagaimana agenda-agenda yang dibawa melalui piagam antarabangsa secara sistematik telah merombak struktur sosial masyarakat Islam. Ideologi seperti feminisme radikal yang diarusperdanakan ke peringkat global telah meninggalkan kos kemanusiaan (human cost) yang tinggi kepada lelaki dan wanita.

Kita menyaksikan berlakunya perebutan kuasa antara jantina  (power struggle). Muncul pula gerakan anti-feminisme seperti “Red Pill Movement” bagi memperjuangkan hak-hak lelaki yang radikal. Apabila peranan menjadi celaru di dalam rumah tangga, fungsi hakiki ibu dan bapa tidak terlaksana.

Kesannya, berlaku keretakan institusi kekeluargaan yang mewujudkan satu “kekosongan jiwa” (spiritual vacuum) dalam diri ahli keluarga.

Di sinilah AI bertindak sebagai oportunis. AI bukan sekadar alat, tetapi mengisi kekosongan tersebut.

Apabila rumah tangga sunyi daripada interaksi manusiawi, AI masuk melalui companion bots, media sosial, dan algoritma pintar. Ini mewujudkan satu kitaran ganas (vicious cycle), seperti : 

i) Kebergantungan Kognitif & Emosi: AI mula mencabar fungsi kognitif manusia dan menggantikan hubungan sosial. Manusia menjadi semakin individualistik, hidup dalam “kepompong digital” masing-masing walaupun duduk serumah.

ii) Penjajahan Bentuk Baharu: Jika dahulu penjajahan berbentuk fizikal, hari ini ia menyusup masuk ke bilik tidur melalui skrin pintar. Ini adalah bentuk pengasingan pemikiran yang diwarisi daripada zaman penjajahan, kini diperkemaskan dengan teknologi.

iii) Dominasi Nilai Asing: Kita perlu sedar, AI tidak neutral. Teknologinya didominasi oleh segelintir syarikat gergasi (Big Tech). Korpus keilmuan dan set datanya dibina atas kerangka nilai Barat yang sekular.

Apabila anak-anak kita menjadikan sistem ini sebagai rujukan utama (Kebergantungan Epistemologi), secara halus membentuk budaya monoculture yang menghakis nilai agama dan budaya luhur kita.

Menyedari hakikat ini, kita tidak boleh melawan teknologi hanya dengan teknologi tetapi memerlukan kekuatan peradaban.

Benar, setiap bangsa memerlukan Kedaulatan AI (Sovereign AI),  dengan memiliki Large Language Model (LLM) dan pusat data sendiri yang tunduk kepada acuan nilai tempatan.

Namun, teknologi yang berdaulat tidak bermakna jika bangsanya hilang jati diri.

Benteng kepada jati diri adalah keluarga.

Oleh itu, saya menggariskan langkah strategik berikut:

1. Mengembalikan Semangat Futuwwah (Sacred Masculinity)

Kita melihat data melaporkan hampir 17,000 remaja hamil luar nikah (2020-2024), bukan sahaja mencerminkan krisis masalah sosial, tetapi juga menggambarkan sebuah generasi yang tiada ayah (Fatherless generation). Hal ini, menunjukkan keperluan  mendesak pengembalian fungsi bapa bukan sekadar penyumbang ekonomi, tetapi sebagai pemimpin dan teladan yang baik kepada anak lelaki.

Di saat dunia keliru melabelkan sifat kepimpinan lelaki sebagai ‘toksik’, Islam mengangkat konsep Futuwwah, satu kualiti kelelakian yang berteraskan kemuliaan akhlak, keberanian, dan pengorbanan.

Ini bukan konsep asing. Sejarah merekodkan bahawa Futuwwah pernah diinstitusikan secara rasmi oleh Khalifah Abbasiyah, Al-Nasir Li-Din Allah (1180–1225 M), malah dihidupkan subur pada zaman Seljuk dan Uthmaniyah sebagai kod etika kesatriaan dan persaudaraan. Hari ini, tokoh seperti Dr. Recep Senturk dan Imam Dawud Walid kembali mengangkat gagasan ini sebagai penawar kepada krisis kelelakian moden. Bapa perlu kembali menjadi nakhoda “kerajaan kecil” (keluarga), menjadi role model, dan pelindung akidah keluarga.

2. Pemerkasaan Ibu sebagai Murabbi (Pendidik)

Kita perlu mentakrifkan semula Women Empowerment. Hal ini, bukan bermaksud memaksa wanita keluar bekerja semata-mata, yang mengukur pemerkasaan tersebut melalui Labour Force Participation Rate (LFPR), tetapi memperkasakan ibu dengan kemahiran (skill set) untuk menjadi pendidik utama yang membimbing anak-anak mendepani cabaran zaman digital.

3. Menghayati Konsep Takamul

Di sinilah konsep Takamul (saling melengkapi) menjadi kritikal. Berbeza dengan naratif Barat yang melaga-lagakan hak, Islam menawarkan keharmonian. Sinergi antara fitrah kelembutan ibu dan ketegasan bapa inilah yang membentuk kestabilan emosi dan ontologi (hakikat kewujudan) dalam keluarga. Ia menjadi perisai sebenar terhadap serangan pemikiran luar.

Membebaskan Masa Depan :

Segala gagasan yang dilontarkan di pentas ASEAN ini bukan sekadar khazanah idea, tetapi isyarat dan seruan tindakan kepada semua pihak untuk bangkit membawa obor perubahan dengan menjadikan keluarga sebagai benteng pertahanan terakhir. Kita sebenarnya sedang membina tapak untuk kebangkitan semula tamadun yang bermaruah, bebas daripada acuan penjajah, dan dipimpin oleh nilai yang diredhai Tuhan.

Dr. Siti Sarah Amran
Ketua Biro Keluarga & Masyarakat ISMA

Scroll to Top