Permainan Dalam Talian Boleh Cetuskan Keganasan, Ibu Bapa Perlu Pantau Anak-anak

Baru-baru ini, seorang kanak-kanak lelaki berumur enam tahun telah dikelar leher oleh abangnya yang berusia sembilan tahun asbab permainan dalam talian. Hal ini, menunjukkan bibit-bibit kesan permainan dalam talian. Perkara ini memberikan isyarat kecemasan kepada ibu bapa terutamanya untuk membimbing penggunaan gadget dalam kalangan anak-anak. 

Walaupun siasatan masih berjalan, isu ini membuka ruang penting untuk masyarakat dan ibu bapa faham akan kesan permainan dalam talian kepada otak kanak-kanak. Apatah lagi, hobi itu dilakukan secara berpanjangan tanpa kawalan dan panduan daripada orang dewasa.

Jelasnya, otak manusia bersifat neuroplastisiti (sifat otak yang berubah, menyesuaikan diri dengan input, rangsangan dan pengalaman persekitaran), apatah lagi otak kanak-kanak yang sedang membesar. Oleh itu, permainan dalam talian boleh mempengaruhi emosi serta tingkah laku mereka.

Ibu bapa wajib tahu, otak kanak-kanak pada usia ini sedang berkembang pesat. Hal ini, bermaksud otak mudah dibentuk oleh pengalaman, rangsangan, dan persekitaran. Ketika mereka bermain permainan dalam talian yang berorientasikan ganjaran, persaingan, atau elemen kekerasan, rangkaian saraf yang terlibat dalam kawalan impuls, ganjaran, dan emosi boleh menjadi terlatih untuk bertindak balas secara cepat dan ekstrem terhadap kekecewaan atau kegagalan.

Dalam kes yang dilaporkan, mangsa dikatakan telah menghapuskan sejuta “point” yang dikumpul oleh abangnya, dan tidak mustahil ini mencetuskan konflik emosi yang kuat. Bagi kanak-kanak yang belum matang dari segi kawalan impuls dan keupayaan mengurus emosi, kehilangan suatu ‘nilai’ yang dianggap penting ini, diterjemahkan oleh otak sebagai kehilangan yang besar dan nyata.

Kita tahu banyak permainan dalam talian yang bersifat intensif boleh meningkatkan aktiviti dalam sistem ganjaran otak dan itu bahagian yang sama terlibat dalam ketagihan dan tindak balas impulsif.

Oleh yang demikian, apabila permainan menanam elemen kekerasan atau membiasakan pemain dengan tindakan agresif (walaupun dalam bentuk avatar atau simulasi), kanak-kanak mungkin mula menormalisasikan konsep “menyerang” atau “membalas dendam” sebagai reaksi biasa terhadap kekecewaan.

Namun, penting untuk ditegaskan bahawa permainan dalam talian bukanlah penyebab tunggal  kepada keganasan, tetapi salah satu daripada pelbagai faktor risiko yang perlu dipertimbangkan bersama aspek lain seperti latar belakang keluarga, tahap pengawasan ibu bapa, keadaan emosi, persekitaran sekeliling.

Semua ini boleh menjadi pencetus yang digabungkan dengan kesan permainan dalam talian untuk menghasilkan reaksi yang tidak seimbang.

Justeru itu, ibu bapa jangan mengambil jalan mudah dengan menyalahkan sepenuhnya permainan dalam talian, tetapi ambil tanggungjawab dengan memahami selok-belok dunia ini. Contohnya, memahami cara permainan dalam talian ini mempengaruhi otak dan tingkah laku kanak-kanak agar setiap tindakan dan perlakuan ada panduan dan pantauan.

Tambahan lagi, Ibu bapa wajib memantau jenis permainan yang dimainkan, tempoh masa bermain, serta emosi anak selepas bermain. Apabila anak-anak menunjukkan kekecewaan besar kerana kalah atau kehilangan “point”, saat ini adalah peluang penting untuk membimbing mereka memahami perasaan tersebut dan mengajar cara mengatasinya dengan sihat.

Hal ini kerana, tidak sedikit kes yang berkaitan keganasan dalam kalangan anak anak ini berlaku dan kita perlu memandangnya dengan serius.

Kes ini mengingatkan kita bahawa di sebalik wajah comel dan warna-warni permainan digital, otak kanak-kanak sedang dilatih sama ada ke arah kawalan diri dan empati, atau sebaliknya ke arah impulsif dan desensitisasi terhadap kekerasan.

Oleh itu, tanggungjawab kita adalah memastikan latihan ini membentuk anak-anak yang matang, bukan mangsa dunia maya. 

Kita semua adalah pencorak kepada kain putih ini.

Dr. Najwa Hanim Ab Latiff
Penggubal Modul RepoAlert!
Aktivis i-Medik

Scroll to Top