SANDAKAN, 10 FEBRUARI – Permukiman ISMA Cawangan Sandakan telah berlangsung dengan jayanya di Hotel Pavilion Sandakan baru-baru ini, menghimpunkan ahli-ahli ISMA dari seluruh Pantai Timur Sabah dalam suasana penuh ukhuwah dan kesungguhan.
Permukiman ini bertujuan menilai pencapaian gerak kerja tahun lalu serta merangka perancangan strategik bagi tahun semasa. Setiap biro telah membentangkan laporan masing-masing, diikuti sesi muhasabah bagi mengenal pasti kekuatan serta ruang penambahbaikan demi memastikan gerak kerja dakwah lebih tersusun dan berimpak.
Yang Dipertua ISMA Cawangan Sandakan, Ustaz Muhammad Nur, dalam ucapannya menegaskan kepentingan untuk terus mengorak langkah ke hadapan dalam merealisasikan agenda besar MU2040.
“Saya menyeru kepada semua ahli dan penggerak dakwah agar memperkukuh komitmen, memperkemas strategi serta bergerak secara kolektif dalam usaha membina masyarakat yang lebih berprinsip dan berdaya tahan selaras dengan gagasan Ummah Fadhilah,” katanya.
Sementara itu, ustaz Zaidi Jalil selaku Ketua Perhubungan Negeri Sabah dalam sesi perkongsiannya menekankan bahawa turun naik iman dan semangat dalam perjuangan adalah lumrah.
Namun, beliau mengingatkan agar setiap ahli kekal berada di atas jalan sunnah dan tidak menjauhkan diri daripada jamaah ketika berdepan cabaran.
Beliau turut menyeru agar budaya engagement diperkasakan serta menegaskan bahawa kesungguhan dan sikap yang betul menjadi kunci dalam menjayakan misi besar mengembalikan umat kepada status asalnya sebagai Ummah Fadhilah.
Permukiman tersebut diakhiri dengan tekad dan komitmen bersama untuk bergerak sederap selangkah antara cawangan Pantai Timur Sabah dalam memastikan setiap KPI yang disasarkan dapat dicapai serta terus konsisten menjayakan agenda pembinaan ummah.


