BANGI, 10 April – Gabungan persatuan pelajar menggesa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menghantar pulang mahasiswa dari dari universiti ke negeri masing-masing secara berperingkat sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menurut Presiden Persatuan Pelajar Islam Nasional (PEMBINA), Wafiq Azman hal ini berikutan dengan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 28 April ini.
Pada masa yang sama, PEMBINA dan 13 persatuan pelajar yang lain mengusulkan beberapa cadangan kepada kementerian.
Antaranya mencadangkan untuk pihak KPT dengan kerjasama universiti dan kerajaan negeri memberikan subsidi untuk menampung sebahagian kos pengangkutan.
Selain itu juga, mengesyorkan setiap mahasiswa yang berada dalam kampus untuk melakukan ujian saringan Covid-19 sebelum proses penghantaran mahasiswa dilaksanakan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang risiko yang mendatang.
”Jika rumah mahasiswa berada di kawasan merah atau “red zone” kami serahkan kepada kebijaksanaan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memastikan pergerakan mahasiswa yang di bawa pulang mengikuti Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan MKN,” katanya lagi.
Ujarnya sebelum mereka dihantar pulang ke kawasan masing-masing pihak universiti haruslah memastikan kebajikan makan minum, kesihatan mental dan fizikal para mahasiswa di universiti terus dijaga.
Tambahnya lagi, pihak KPT haruslah melibatkan wakil mahasiswa secara langsung dalam proses perbincangan dan pembuatan keputusan melalui Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) bagi peringkat KPT dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atau Kesatuan Mahasiswa (KM) di peringkat universiti.
Kenyataan penuh : https://isma.org.my/blog/kenyataan-bersama-mahasiswa-malaysia/