Perutusan Presiden Isma sempena Hari Kebangsaan ke-62

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

SAYA mewakili seluruh warga Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-62 kepada seluruh rakyat Malaysia.

Alhamdulillah, kita masih diberi peluang untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan pada tahun ini dengan suasana yang harmoni dan aman. Keamanan dan keharmonian ini perlu kita pelihara dan pertahankan bersama-sama terutamanya dalam suasana Malaysia yang serba majmuk.

Kewujudan rakyat berbilang kaum, suku, agama dan budaya sepatutnya tidak memecah belahkan kita kerana Malaysia mempunyai Perlembagaan Persekutuan yang inklusif kepada semua.

Saya yakin jika semua rakyat berpegang teguh kepada Perlembagaan, maka kita akan kekal bersatu-padu malah akan mampu membina sebuah negara yang mempunyai identiti yang unik dan dihormati.

Sebagai sebuah negara Islam sudah tentu memastikan keabsahan agama Islam sewajibnya menjadi agenda utama kerajaan.

Malangnya sejak kebelakangan ini, kita melihat ada pihak yang cuba menggugat keharmonian antara kita. Jika diteliti, semua isu yang berlaku adalah apabila perkara-perkara yang termaktub di dalam perlembagaan dicabar.

Antaranya ialah bahasa kebangsaan, agama persekutuan, kedaulatan raja-raja, kedudukan orang Melayu dan Bumiputera dan banyak lagi. Oleh itu, saya menyeru agar kita menghormati perlembagaan kita demi kesejahteraan dan kestabilan negara.

Apabila kita menyebut tentang kemerdekaan, kita sering berbicara mengenai penjajahan fizikal bangsa asing seperti yang tertulis dalam sejarah.

Saya ingin mengajak agar kita berfikir dan merenung kepada hakikat bangsa dan negara kita sekarang. Adakah kita benar-benar merdeka dan bebas untuk memacu negara mengikut acuan sendiri?

Atau kita masih terikut-ikut dengan acuan Barat?

Ini satu perkara yang perlu kita muhasabah diri agar negara ini terbina dengan identitinya sendiri. Kita tidak harus tunduk kepada mana-mana tekanan luar sama ada dari barat ataupun timur.

Setiap rakyat mestilah komited mempertahankan kedaulatan negara.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu hari ini, saya berharap pimpinan negara dapat menyediakan rancangan ekonomi yang lebih mampan bagi menghadapi suasana ekonomi yang sedang gawat.

Strategi ekonomi tersebut mestilah menekankan kebajikan rakyat, bukan keuntungan semata atau memenuhi keperluan pihak-pihak tertentu sahaja.

Rakyat juga masih menagih janji-janji pemerintah yang sehingga kini masih belum ditunaikan. Dalam masa yang sama rakyat juga mengharapkan pimpinan negara mengurangkan polemik politik yang membosankan sedangkan rakyat kini sedang mengalami tekanan kewangan untuk hidup.

Selain itu, saya menyeru pimpinan negara terutamanya orang Melayu Islam supaya tidak terlalu apologetik dan tidak tegas dalam mempertahankan perkara-perkara asas negara terutama yang menyentuh soal agama Islam, kedudukan orang Melayu dan Majlis Raja-Raja.

Akhir sekali, saya menyeru agar kita terus bersatu-padu supaya kita dapat maju ke hadapan untuk membina sebuah negara yang madani mengikut kerangka dan acuan kita sendiri.

Hormatilah Perlembagaan negara untuk menjamin perpaduan antara kita.

Sekian, terima kasih.

Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat