Pijak al-Quran bukan isu remeh

Sedarkah bahawa naskhah Al-Quran yang dipijak itu pada Surah Al-Anfal, ayat 17 hingga 33.

Surah yang berlatarbelakangkan Perang Badar, yang juga berlaku di bulan Ramadan, yang juga Allah SWT kurniakan kemenangan buat umat Islam. Walaupun pada ketika itu umat Islam tidak mahu perang, tapi Allah SWT berkehendak sebaliknya.

Meskipun Islam menjunjung kedamaian (Salam), namun Islam tidak sesekali mengajar umatnya untuk menggadaikan maruah dan kemuliaan (Izzah) apabila dihina.

Bagaimana kita boleh diminta bertenang, menganggap isu ini remeh, sedangkan ayat yang dipijak itu sendiri sedang memberikan amaran agar tidak mengkhianati Allah, Rasul dan  amanah kepimpinan?

Ketahuilah, helaian yang berada di bawah tapak kaki itu mengandungi Firman Allah SWT : 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ والرَّسولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُم وَأَنْتُمْ تَعْلَمُون

Maksudnya : “Wahai orang-orang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui.”

(Surah al-Anfal : 27) 

Firman Allah SWT itu seakan-akan tamparan dari langit.

Janganlah kerana ingin menjaga diplomasi yang rapuh, sanggup membiarkan agama diperlekehkan. Apabila ayat tentang larangan khianat dipijak, hal itu bukan sekadar penghinaan daripada pelaku, tetapi penghinaan buat mereka yang menggelar diri sebagai pelindung agama.

Jangan jadikan ‘perpaduan’ sebagai topeng untuk menormalisasikan penghinaan. Tiada keharmonian tanpa keadilan, dan tiada perpaduan jika maruah agama terus diperlekehkan.

Dr. Siti Sarah binti Amran
Ketua Biro Keluarga & Masyarakat ISMA

Scroll to Top