BANGI, 25 Mei – Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) Bangi telah menganjurkan aktiviti Piknik Penuh Memori di Taman Tasik Cempaka pagi tadi.
Bertujuan menyuburkan kembali fungsi sebuah keluarga, Ahli Jawatankuasa Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM), Nur Nabihah Shaharudin berkata program ini juga diadakan bagi merapatkan hubungan antara ibu bapa dan anak melalui aktiviti santai.
“Dalam program ini, kita mahu anak-anak menghargai pengorbanan ibu bapa dalam membesarkan mereka.
“Pada masa yang sama, program ini menyampaikan mesej bahawa anak-anak sangat perlukan perhatian dan kasih sayang ibu ayah,” katanya.

Nabihah juga berpendapat, program sebegini boleh mencipta sebuah kenangan berharga antara ibu, ayah, anak-anak kelab Nazim.
“Begitulah, kenangan paling berharga tak boleh dibeli, tapi ia boleh dicipta, dicipta bersama dengan orang yang kita sayang,” ujarnya ketika dihubungi.
Pelbagai aktiviti dilakukan oleh 14 buah keluarga seperti, gelang kasih buat bonda, kad sayang untuk ayahanda, pelikat kasih, roket tanpa sempadan, belon cinta meletup termasuklah perkongsian santai tapi penuh bermakna daripada Ustaz Bilal Jailani, ahli ISMA Bangi.

Ustaz Bilal memberi pesanan tentang hari keluarga sebegini adalah sebagai alat tetapi yang lebih utama adalah tujuan atau matlamat sesebuah keluarga.
“Kita boleh menjalankan aktiviti ukhuwah ini tetapi tujuan kita adalah untuk letak satu visi keluarga, aktiviti makan-makan ni hanyalah alat sahaja.
“Apa visi keluarga kita? Menuju ke mana kita ni? – InsyaAllah menuju ke syurga Allah,” katanya.
Pada masa yang sama Ustaz Bilal menekankan pentingnya peranan bapa (father figure) dalam mendidik dan memimpin institusi keluarga.
“Berpada dalam mencari rezeki dan harta benda kerana masa yang berkualiti jauh lebih berharga,” katanya lagi di hadapan 50 orang peserta yang hadir.
Para ibu yang hadir juga menerima cenderahati istimewa iaitu sebuah buku tajaan Syarikat Qurlad yang bertajuk “Ibu, kami perlukanmu”.