‘Potty train’ kemahiran pengurusan diri yang penting

‘Potty train’ atau latihan ke tandas merupakan suatu kemahiran pengurusan diri yang penting yang diajarkan kepada anak-anak. Pendidikan ini bertujuan untuk mendidik mereka supaya tidak lagi menggunakan lampin pakai buang jika ingin membuang air.

Namun, bercakap tidak semudah melakukannya. Pelbagai cabaran perlu dilalui oleh ibu bapa khususnya bagi yang pertama kali menempuhnya. Tempoh untuk memastikan kejayaan pelaksanaan kemahiran ini tidak sama bagi setiap anak sebaliknya bergantung kepada banyak aspek termasuklah kebolehupayaan anak itu sendiri untuk memahami konsep ini.

Terdapat anak yang berjaya melalui proses ini seawal usia  setahun lebih dan tidak kurang yang mengambil masa sehingga mencecah usia lima tahun. Normalnya bagi kanak-kanak biasa, latihan ke tandas dimulakan pada usia dua tahun ke atas.

Usaha tangga kejayaan. Walaupun mungkin memerlukan masa lebih lama, tetapi berkat pengorbanan dan kesungguhan ibu bapa mendidik anak-anak pasti membuahkan hasil. Di sini akan saya kongsikan beberapa cabaran yang mungkin dilalui oleh ibu bapa dan tips untuk menjayakan proses ini.

Cabaran :

  1. Masa

Bagi sesetengah ibu bapa masa menjadi cabaran besar khususnya bagi ibu yang bekerjaya. Masa yang ada lebih terhad dan mungkin dapat melatih anak hanya pada hujung minggu. Oleh itu, perlu ada kerjasama yang baik antara ibu bapa dan pengasuh/penjaga anak-anak semasa ibu bapa bekerja.

  1. Ketakutan

Sesetengah anak-anak akan berasa takut dengan tandas itu sendiri (saiz tandas, suasana, dan bunyi bising apabila mengepam).

  1. Semangat ibu bapa

Tidak dinafikan untuk mengajar anak-anak dengan kemahiran ke tandas besar cabarannya dan pasti akan menguji fizikal dan mental ibu bapa. Ada anak-anak yang mudah dilatih, tetapi ramai juga yang mengalami kesukaran seperti anak terbuang air semasa tidur, terbuang  air di atas karpet, najis tercicir semasa menuju ke tandas, dan sebagainya. Situasi ini mungkin akan  menyebabkan ibu bapa berasa putus asa, letih dan akhirnya mengundur diri.

Tip :

  1. Bersedia dari segi mental dan fizikal.

Sememangnya untuk melatih anak dengan perkara baru, ibu bapa memerlukan persediaan mental dan fizikal yang cukup. Mereka perlu membuat jangkaan situasi dan berani untuk menempuh segala cabaran yang akan berlaku. Mereka perlu mengelakkan sikap putus asa dan saling memberi sokongan terhadap satu sama lain.

  1. Sediakan mental anak

Ibu bapa perlu memberitahu anak-anak terlebih dahulu tentang latihan ke tandas, sebab perlu berbuat demikian, menjelaskan proses dan langkah-langkah yang akan dilalui. Selain itu, anak-anak boleh ditanamkan dengan minat terhadap bilik air dan sentiasa memberi sokongan kepada mereka. Sekiranya mereka berjaya, berilah pujian. Jika berlaku kemalangan atau kecuaian semasa latihan, janganlah memarahi mereka.

  1. Melihat kesediaan Anak

Sukar untuk menyatakan masa yang tepat anak bersedia dengan latihan ini. Namun, ibu bapa boleh melihat tanda-tanda seperti mereka boleh mengikut arahan, memberitahu keinginan untuk ke bilik air, bersedia memberi kerjasama, menyedari lampin pakai buang mereka telah basah atau kotor, boleh menanggalkan seluar sendiri, dan duduk di atas mangkuk tandas sendiri.

  1. Mempelajari teknik

Ibu bapa boleh melakukan kajian atau bertanya kepada mereka yang berpengalaman terlebih dahulu sebelum mengajar anak-anak. Perkara ini akan lebih memudahkan dan membantu ibu bapa untuk melihat teknik yang sesuai dengan anak-anak. Antaranya memperlihatkan video kartun. Selain itu, pakaian yang dikenakan kepada anak-anak haruslah ringkas dan mudah untuk  dibuka pada saat kecemasan.

  1. Konsisten

Langkah ini sangat penting dilakukan supaya ana-anak menjadi terbiasa dengan latihan. Sebaik-baiknya pada setiap hari. Sekiranya hanya pada hujung minggu, dikhuatiri anak-anak akan terlupa dengan kemahiran yang sedang diterapkan kepada mereka. Jika ibu bapa mampu untuk konsisten, tidak mustahil kejayaan anak-anak melalui proses ini boleh dilihat dalam masa dua hingga tiga minggu.

  1. Sentiasa mengingatkan anak

Ibu bapa perlu mengetahui  corak dan masa anak-anak biasa membuang air. Dengan itu, setiap satu atau dua jam mereka perlu diingatkan atau ditanya sama ada ingin membuang air atau tidak.

Kesimpulannya, usaha tangga kejayaan. Walaupun mungkin memerlukan masa lebih lama, tetapi berkat pengorbanan dan kesungguhan ibu bapa mendidik anak-anak pasti membuahkan hasil.

Norleyana binti Yahya

Biro Keluarga dan Masyarakat Isma Johor Bahru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat