PrEP Tanpa Izin Ibu Bapa Ancaman Halus Terhadap Institusi Keluarga

Pada 1 Julai lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni melaporkan bahawa seramai 222 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) telah dikesan menghidap jangkitan HIV pada tahun 2024, melibatkan remaja seawal usia 18 hingga 19 tahun. Dalam tempoh lima tahun dari 2020 hingga 2024, sebanyak 1,091 kes jangkitan HIV direkodkan dalam kalangan pelajar IPT. Data ini menunjukkan trend peningkatan yang konsisten, khususnya dalam kalangan remaja yang baru menjejak usia dewasa.

Sebagai langkah untuk mengurangkan penularan HIV, pihak kementerian kini dalam rancangan melaksanakan pendekatan pengurangan kemudaratan (harm reduction) melalui penggunaan ubat Profilaksis Pra-Pendedahan (PrEP) di beberapa fasiliti kesihatan terpilih. Namun, kenyataan Timbalan Menteri yang menyebut bahawa wujud kekangan dari segi akses remaja bawah umur kepada ujian kendiri HIV dan rawatan susulan kerana tiada peruntukan undang-undang yang membenarkan mereka menjalani saringan tanpa kebenaran ibu bapa perlu diberi perhatian serius. Hal ini menimbulkan kebimbangan apabila usaha memperluas akses PrEP kepada golongan remaja atas nama ‘pencegahan’ dilihat cuba mengenepikan peranan dan keizinan ibu bapa sebagai penjaga yang sah dan bertanggungjawab terhadap anak-anak.

Dalam syariat Islam, ibu bapa bertanggungjawab dalam mendidik, menjaga kesihatan fizikal, mental dan rohani anak-anak serta membimbing anak-anak dalam setiap aspek kehidupan. Allah SWT berfirman dalam Surah At-Tahrim, ayat 6.

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًۭا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَـٰٓئِكَةٌ غِلَاظٌۭ شِدَادٌۭ لَّا يَعْصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ٦

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluargamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

Ayat ini jelas meletakkan tanggungjawab kepada ibu bapa, khususnya ketua keluarga untuk melindungi dan membimbing anak-anak bukan sahaja dari sudut agama, malah dalam semua aspek kehidupan termasuk urusan kesihatan dan tingkah laku. Ibu bapa berperanan terhadap anak, manakala anak-anak berperanan terhadap ibu bapa. Hubungan keluarga dalam Islam adalah hubungan yang saling terkait, bukanlah individu yang terasing antara satu sama lain yang tinggal dibawah satu bumbung. Oleh itu, Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) ISMA berpendapat pemberian rawatan PrEP kepada remaja tanpa keizinan atau pengetahuan ibu bapa adalah suatu bentuk pencabulan terhadap prinsip asas kekeluargaan Islam.

Mengenepikan Keizinan Ibu Bapa Akan Menumbuhkan Budaya Individualistik dalam Keluarga

Jikalau dasar ini dilaksanakan, ia bukan sahaja akan menghakis peranan ibu bapa terhadap anak-anak, malah akan menyuburkan budaya individualistik dalam kalangan remaja. Remaja akan mula merasakan bahawa mereka tidak lagi perlu merujuk kepada ibu bapa dalam membuat keputusan hidup, meskipun hal itu berkaitan kesihatan, hubungan peribadi dan hubungan sosial dalam masyarakat. Ini secara tidak langsung menanam pemikiran bahawa hak individu boleh mengatasi tanggungjawab bersama dalam institusi keluarga.

Fenomena budaya individualistik telah lama melanda masyarakat Barat, khususnya di Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah. Di sana, kanak-kanak dan remaja diberikan kuasa autonomi di atas nama kebebasan individu. Ramai remaja di Barat tidak lagi melihat ibu bapa sebagai sumber nasihat atau tempat kembali. Remaja bebas membuat keputusan untuk diri sendiri berkaitan kesihatan seksual, rawatan kesihatan mental, perubahan jantina, serta pengambilan ubat seperti PrEP tanpa perlu merujuk atau berbincang dengan ibu bapa. 

Realitinya, pelaksanaan budaya ini di negara-negara Barat telah membawa kesan negatif yang ketara. Remaja dibenarkan membuat keputusan besar dalam hidup mereka walaupun belum cukup matang dari segi akal dan emosi. Akibatnya, mereka terdedah kepada pelbagai masalah sosial seperti peningkatan jangkitan penyakit kelamin, kehamilan luar nikah, tekanan mental, kemurungan, serta kecelaruan identiti. 

Disini kita dapat melihat bagaimana hubungan kekeluargaan menjadi rapuh apabila budaya individualistik menguasai cara hidup. Anak-anak membesar tanpa bimbingan ilmu agama yang jelas, dan tanpa pedoman akhlak yang sepatutnya datang daripada ibu bapa. Dalam masa yang sama, ibu bapa pula hilang kuasa dan autoriti untuk membentuk nilai Islam dalam kehidupan anak-anak mereka.

Budaya ini secara halus menolak konsep istikzan (meminta izin) dan istisyar (berbincang/bermusyawarah) dalam keluarga. Dua prinsip ini penting dalam keluarga Islam. Ia bukan sekadar adab, tetapi merupakan mekanisme syarak yang berfungsi mengukuhkan keharmonian dan kestabilan dalam rumah tangga. Lebih penting daripada itu, prinsip istikzān dan istisyar berperanan menjaga agar seluruh keputusan dan tingkah laku dalam sesebuah keluarga berada di atas landasan syariah, bukan sekadar berpandukan logik atau emosi.

Maka, apabila prinsip istikzan dan istisyar diketepikan dalam polisi atau pendekatan kesihatan awam seperti memberikan PrEP kepada remaja tanpa keizinan ibu bapa, ia bukan sahaja menolak prinsip Islam dalam keluarga, malah melemahkan ikatan kekeluargaan. Kerajaan perlu faham bahawa dasar yang menyerupai sistem Barat ini sebenarnya mengimport model yang telah gagal dan bertentangan dengan fitrah keluarga dan masyarakat Islam.

Ummah Fadhilah Sebagai Solusi  Intervensi Melibatkan Keluarga dan Komuniti

Pencegahan HIV dalam kalangan remaja tidak seharusnya mengorbankan struktur keluarga dan masyarakat. Sebaliknya, usaha pencegahan yang dilaksanakan perlu bersifat menyeluruh dan bersepadu, melibatkan kerjasama antara keluarga, komuniti setempat, institusi pendidikan, dan pihak berautoriti kesihatan.

Mencabut nilai kekeluargaan dan kemasyarakatan daripada diri remaja adalah tindakan yang tidak wajar. Ia bukan sahaja berisiko memporak-perandakan institusi keluarga, tetapi juga akan melemahkan teras kekuatan bangsa. Sebarang dasar pencegahan mestilah memperkukuh, bukan meruntuhkan prinsip Islam dalam diri individu, keluarga dan masyarakat. ISMA menyokong usaha pencegahan HIV sebagai langkah kesihatan awam yang penting, namun menolak sebarang pendekatan yang mengetepikan peranan keluarga dan panduan agama.

ISMA mengusulkan pendekatan Ummah Fadhilah sebagai solusi bersepadu dalam menangani isu HIV dalam kalangan remaja di Malaysia. Pendekatan ini menekankan pembinaan masyarakat Islam yang kuat dari segi akidah, akhlak dan institusi kekeluargaan, sekaligus menolak budaya individualistik yang melemahkan peranan ibu bapa dan institusi keluarga.

Ibu bapa perlu diangkat semula sebagai pendidik utama anak-anak. Bukan sahaja dalam soal akhlak dan pendidikan, tetapi juga dalam aspek kesihatan anak-anak. Dalam masa yang sama, sokongan daripada komuniti setempat turut memainkan peranan penting. Masyarakat yang cakna dan prihatin berupaya membimbing remaja ke arah cara hidup Islam yang sebenar  cara hidup yang menjaga maruah, menghormati batas syariah, serta mengukuhkan jati diri Muslim dalam menghadapi cabaran moden.

Perlu difahami bahawa PrEP ialah ubat pencegahan HIV, bukan rawatan. Ia hanya berkesan jika diambil secara konsisten dan di bawah pemantauan profesional perubatan. Tidak dinafikan, ia mempunyai manfaat dalam kes-kes tertentu seperti mangsa rogol, penderaan seksual, atau suami atau isteri yang pasangannya telah dijangkiti HIV.

Namun demikian, PrEP bukan lesen untuk membenarkan gaya hidup bebas seperti zina atau hubungan sejenis diteruskan tanpa batas. Sebarang penggunaan PrEP mesti berpandukan garis panduan yang jelas, berteraskan nilai agama dan budaya tempatan, bersifat pengecualian, serta dilaksanakan di bawah pengawasan yang ketat.

Malaysia perlu membangunkan model rawatan dan pencegahan bersepadu yang berpaksikan acuan sendiri, bukan semata-mata meniru pendekatan liberal dari Barat. Model ini harus melibatkan peranan institusi perubatan, agama, keluarga dan komuniti, dalam rangka membina remaja yang sihat bukan sahaja dari sudut jasmani, tetapi juga dari segi akhlak dan jati diri.

Scroll to Top