PRN Sabah: Rakyat Menanti Pemimpin Ummah yang Berwibawa, Bersih Daripada Rasuah

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ke-17 bakal tiba tahun ini, yang akan menjadi medan pertembungan sengit dalam kalangan politik kepartian. 

Sekali lagi yang menarik perhatian rakyat bukan sahaja kerana dinamika politik tempatan tetapi juga kerana bayangan isu-isu besar yang menghantui pentadbiran kerajaan Negeri iaitu ketirisan dan rasuah. 

Dalam suasana politik yang mencabar hari ini, sebenarnya besar harapan rakyat di Sabah untuk melihat kemunculan pemimpin Ummah yang berwibawa, bersih, berintegriti, dan benar-benar peduli akan nasib negeri dan rakyatnya.

Laporan media mutakhir kini pula, sering memaparkan isu-isu rasuah yang melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli politik di Sabah. Skandal-skandal yang tular, termasuk yang berkaitan dengan pelesenan sumber asli dan projek pembangunan, telah menggoyahkan keyakinan awam dan rakyat terhadap institusi politik.

Beberapa laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesahkan siasatan dan pendakwaan terhadap beberapa individu termasuk wakil rakyat berhubung dakwaan rasuah, terutamanya melibatkan projek-projek yang begitu besar di Sabah.

Selain itu, isu ketirisan dana pembangunan dan kelemahan tadbir urus juga sering dibangkitkan. Hal ini menyebabkan negeri yang kaya sumber asli ini terus berhadapan dengan isu infrastruktur asas yang daif, bekalan air dan elektrik yang tidak stabil, serta kadar kemiskinan yang tinggi.

Penganalisis politik tempatan berpendapat bahawa, walaupun isu kos sara hidup dan pembangunan adalah tumpuan utama PRN, rekod integriti dan isu rasuah akan menjadi faktor penentu dalam pilihan raya kali ini. Rakyat Sabah sudah muak dan letih dengan kancah politik yang tidak stabil yang dicemari dengan skandal rasuah dan ketirisan. Mereka juga sudah semakin lantang menuntut pemimpin yang berwibawa dan berakhlak mulia.

Oleh yang demikian, seruan untuk memilih pemimpin Ummah yang  berwibawa, bersih dan berintegriti patut diketengahkan dan diangkat untuk membawa Negeri Sabah Darul Saadah menjadi negeri yang kuat, maju dan berdaulat.

Ustaz Muhammad Nur Bin Selamit
YDP ISMA Sandakan
Pengerusi Institut Kajian Darus Saadah

Scroll to Top