Rahsia kehebatan doa Nabi Yunus

Nabi Yunus diutuskan oleh Allah untuk berdakwah kepada kaumnya. Namun, keinggaran kaumnya untuk beriman kepada Allah menjadikan nabi Yunus marah dan kecewa lalu meninggalkan kaumnya tanpa diperintah oleh Allah.

Kisah Nabi Allah Yunus ditelan ikan nun diabadikan di dalam al-Quran pada Surah as-Saffat ayat 140 hingga 144 yang bermaksud;

“(ingatlah) ketika baginda (Yunus) lari ke kapal yang penuh dengan muatan. Baginda ikut diundi ternyata baginda termasuk orang-orang yang kalah (dalam undian). Maka baginda ditelan oleh ikan besar dalam keadaan tercela. Maka jika baginda tidak termasuk orang yang banyak berzikir kepada Allah, nescaya baginda akan tetap tinggal di dalam perut (ikan itu) sehingga hari kebangkitan.”

Jika mengikut logik akal pemikiran, manusia atau apa sahaja pasti akan mati jika ditelan ikan besar. Namun dengan kekuasaan Allah, Nabi Yunus masih terselamat di dalam perut ikan.

Di dalam perut ikan yang gelap kelam Nabi Yunus sentiasa berzikir dan memanjatkan doa kepada Allah. Doa baginda ini diabadikan di dalam al-Quran dalam surah al-anbiya’ ayat 87 yang bermaksud;

“Dan ingatlah kisah Dzun Nun (Yunus), ketika dia pergi dalam keadaan marah lalu dia menyangka bahawa kami tidak akan menyulitkannya, maka dia berdoa dalam keadaan yang sangat gelap, “tidak ada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku termasuk golongan yang zalim”.”

Doa baginda didengari dan dikenali oleh penduduk langit, lalu kerana DOAnya itu maka Allah selamatkan baginda

“Maka kami kabulkan doanya dan Kami selamatkan dia daripada kedukaan. Dan demikian lah Kami menyelamatkan orang-orang yang beriman.” – Al-Anbiya’ ayat 88.

Doa Nabi Yunus ini ringkas, padat dan mudah dibaca dan dihafal. Dalam doa Nabi Yunus ini ada 3 rahsia besar tentang Tauhid, Tasbih dan Pengakuan seorang hamba Allah.

1. Doa ini dibuka dengan kalimah Tauhid. Kalimah Tauhid bukan sekadar makna tiada tuhan melainkan Allah tetapi dalam konteks lain bermaksud tiada Tuhan yang patut aku mengadu, mengharapkan keampunan dan menghajatkan keselamatan melainkan Allah.

2. Nabi Yunus mensucikan Allah dari sebarang bentuk kezaliman atau penganiayaan. Penyucian ini penting ditegaskan pada kita kerana apabila kita ditimpa susah atau musibah, kita marah salahkan Allah. Kita tuduh Allah kononnya sengaja nak aniaya diri kita. Maha Suci Allah dari menganiaya manusia. Tetapi manusialah yang menganiaya diri sendiri.

3. Tanpa keberatan atau alasan yang berlapis Nabi Yunus terus mengaku kesalahannya. Maksudnya Nabi Yunus sedar itu adalah kesan dari kesalahannya lari dari dakwah yang Allah amanahkan ke atas baginda. Semestinya yang susah dan musibah adalah dari kerosakan tangan manusia sendiri, dari dosa-dosa manusia itu sendiri.

Kesimpulannya, kita sebagai hamba Allah yang semestinya banyak membuat dosa, amalkan lah doa ini ketika apa keadaan sekalipun kerana ia dapat memantapkan iman dan keyakinan kita pada Allah yang hanya satu satu tempat bergantung. Jangan lupa berdoa selepas berusaha kerana segalanya ditentukan oleh Allah yang maha berkuasa.

Sesungguhnya doa adalah senjata orang mukmin.

Ustazah Natrah Binti Md Nazir
Aktivis Isma Cawangan Port Dickson

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat