Terlebih dahulu, wajar kita merakamkan penghargaan kepada pengurusan masjid. Ramai antara mereka memikul amanah besar ini dalam keadaan serba terbatas, bekerja dalam senyap dengan penuh kesungguhan demi memastikan rumah Allah terjaga dan berfungsi. Usaha ini tidak kecil dan sewajarnya dihormati. Tambahan pula masjid adalah tunjang pembinaan masyarakat dalam komuniti.
Ramadan sentiasa hadir sebagai bulan penyusunan semula keutamaan. Di sinilah kita perlu jujur bertanya, adakah masjid kita sekadar selesa secara fizikal, atau benar-benar hidup sebagai pusat pembinaan ummah? Ruang yang selesa, permaidani baru, berhawa dingin ada nilainya yang baik, namun ia hanyalah alat. Matlamat yang sebenar adalah manusia yang dibina, hubungan yang dipererat dan komuniti yang saling menjaga antara satu sama lain.
Masjid perlu kita jadikan ruang yang mesra keluarga dan anak-anak, tempat berbuka puasa bersama, tarawih yang menyatukan, tilawah yang menyuburkan jiwa, qiamullail yang mendidik hati, dan iktikaf yang menjadikan masjid sebagai rumah kedua kita dalam komuniti. Ibu bapa muda tidak kekok membawa anak-anak kecil, kanak-kanak dan remaja begitu teruja hadir ke masjid bersama rakan-rakan sebaya, pemuda dan pemudi mendapat ketenangan beribadah setelah seharian bekerja.
Masjid dan Ramadan juga adalah jambatan perhubungan yang mendekatkan jurang perbezaan sosial dalam masyarakat. Di sinilah peluang untuk kita merapatkan semula saf, membelakangkan perbezaan pegangan dan ideologi politik, demi ukhuwah dan kepentingan ummah yang lebih besar.
Oleh itu, kepimpinan masjid perlu difahami sebagai rakan strategik yang amat penting dalam pembinaan masyarakat. Apabila masjid dihidupkan sebagai pusat kegiatan komuniti, bukan sahaja ibadah dapat dipelihara, malah ummah dibentuk secara berterusan. Ramadan menjadi titik permulaan paling sesuai untuk menggerakkan cita-cita ini. Justeru, peranan kepimpinan masjid merupakan nadi utama pembangunan komuniti, kerana agenda masjid tidak terhenti di dalam dinding dan pagar semata-mata, tetapi mengalir ke seluruh pelosok jalan dan lorong kehidupan masyarakat dalam komuniti.
Mohd Nasrul Muhaimin bin Mohd Taib
Naib Presiden ISMA


