Rasulullah SAW Teladan Sepanjang Zaman

Oleh : Kaslawati Binti Kassim

Saidatina Aisyah r.a meriwayatkan bahawa apabila berlakunya tiupan angin kencang yang membawa awan tebal, wajah baginda Rasullah SAW akan bertukar menjadi pucat kerana takut kepada Allah SWT. Baginda berasa resah gelisah dan akan membaca doa berikut :

“Ya Allah, Aku memohon kepadamu kebaikan daripada angin ini dan kebaikan yang datang bersama-sama angin ini. Aku memohon perlindunganMu daripada keburukan angin ini dan apa-apa keburukan yang datang bersama-sama angin ini.”

Menurut Saidatina Aisyah r.a lagi, kemudian, apabila hujan mula turun, jelas nampak kegembiraan pada raut wajah baginda Rasulullah SAW.

Suatu hari aku bertanya kepada baginda, “Wahai Nabi Allah, apabila awan muncul setiap orang akan bergembira kerana hujan akan turun tetapi kenapa pada ketika itu aku dapati tuan sangat resah gelisah?

Baginda menjawab, “Wahai Aisyah! Bagaimana untuk aku berasa selamat bahawa angin ini tidak membawa bersama-samanya kemurkaan Allah? Kaum ‘Ad telah diazab Allah dengan angin. Mereka tersangat gembira melihat awan tebal, mempercayainya sebagai tanda pembawa hujan tetapi sebenarnya awan tebal itu membawa kebinasaan kepada Kaum ‘Ad.”

Jelaslah Rasulullah SAW merujuk kepda ayat 24 dan 25 Surah Al-Ahqaf.

“Maka tatkala mereka (Kaum ‘Ad) melihat azab itu berupa awan-awan yang menuju ke lembah-lembah mereka, berkatalah mereka , “Inilah awan yang menurunkan hujan kepada kami.”(bukan) Bahkan itulah azab yang kamu minta supaya datang dengan segera (iaitu) angin yang mengandungi azab yang pedih.”

“Yang menghancurkan segala sesuatu dengan perintah Tuhan, sehingga mereka (Kaum ‘Ad) hilang terus (di bumi) kecuali yang ada hanyalah sisa-sisa tempat tinggal mereka. Demikianlah, Kami memberi balasan kepada kaum yang berdosa.”

Kita lihat bagaimana rasa takut kepada Allah lahir dari hati seorang yang terbaik dari seluruh mahkhluk. Baginda sangat dekat dengan Allah, sangat takut kepada Allah sehingga tiupan angin yang kencang membuatkan baginda terkenangkan kembali azab dan balasan yang diterima oleh kaum-kaum terdahulu.

Renunglah sebentar ke dalam diri kita. Walaupun diri kita penuh dengan dosa  dan maksiat namun segala bencana alam, tsunami, gempa bumi, banjir, malah ujian COVID 19 yang sedang kita hadapi hari ini tidak mencetuskan rasa takut di dalam hati kita kepada Allah SWT.

Moga Allah terus memberikan panduan dan rahmatNya kepada kita. Seterusnya memilih kita menjadi hambaNya yang benar-benar  mencintai Allah dan RasulNya.

Salam Maulidur Rasul 1442H/2020M

“Ummah Rabbani, Negara Harmoni”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat