NILAI, 11 Januari – Aktiviti riadah pagi anjuran ISMA Nilai berjaya menghimpunkan seramai 63 orang pemuda dari sekitar Nilai dalam satu program yang bukan sahaja menumpukan kecergasan fizikal, malah memberi penekanan kepada pengisian rohani serta ukhuwah dalam kalangan komuniti setempat.
Kehadiran dimeriahkan lagi dengan penyertaan aktif pemuda ABIM Nilai dalam liga tiga penjuru yang dianjurkan.
Menurut Biro Tarbiah ISMA Nilai, Ustaz Khairul Fatihin, riadah ini diadakan untuk memupuk semangat kebersamaan dan kesediaan untuk bekerjasama dalam menjayakan program komuniti yang bermanfaat.
“Penglibatan pemuda sekitar Nilai, terutamanya kehadiran Abim Nilai bukan sahaja memeriahkan pertandingan, malah mengukuhkan hubungan silaturahim antara organisasi belia Islam di peringkat setempat,” katanya.
Program yang berlangsung hari ini melibatkan penyertaan daripada ABIM Nilai, ISMA Nilai dan komuniti Taman Keranji, sekali gus menjadikannya platform penyatuan pemuda merentasi organisasi dan kawasan kejiranan.
Penganjur telah mengadakan liga tiga penjuru yang berlangsung dalam suasana penuh ukhuwah dan semangat kesukanan.
Pertandingan ini juga menjadi medium memperkukuh disiplin, kerjasama berpasukan serta hubungan sesama peserta.
Program kemudian diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah kepada juara liga, diikuti tazkirah penutup yang disampaikan oleh Ustaz Khairul Fatihin daripada Biro Tarbiah ISMA Nilai.
Pasukan ABIM Nilai muncul sebagai juara bagi edisi liga tiga penjuru kali ini dan kejayaan tersebut diraikan dalam suasana penuh ukhuwah. Pada masa sama, penghargaan turut diberikan kepada semua pasukan yang terlibat, mencerminkan budaya saling menghormati dan semangat kesukanan yang sihat antara ISMA Nilai dan ABIM Nilai.
“Diharapkan riadah mingguan ini menjadi langkah awal kepada usaha memperkasa gerakan riadah pemuda yang lebih seimbang, melahirkan generasi yang kuat dari sudut jasmani, mantap rohani serta utuh ikatan ukhuwah dalam komuniti,” katanya lagi.


