RMK-13: Dilema Wanita, Antara Rumah Atau Ringgit

Baru-baru ini, laporan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) yang dibentangkan di Parlimen menyentuh tentang keperluan memperkukuh peranan wanita dalam pelbagai sektor, daripada kepimpinan korporat, bidang keusahawanan, hinggalah sumbangan kepada masyarakat setempat. Data yang dibentangkan jelas menunjukkan bahawa potensi wanita Malaysia masih luas untuk diterokai, sama ada dari sudut ekonomi, pendidikan mahupun penglibatan sosial.

Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita pada tahun 2023 hanya sekitar 56.2%, jauh di belakang lelaki yang berada pada kadar ±83%. Perbandingan dengan negara jiran turut membangkitkan persoalan: Thailand dan Singapura telah mencapai ±59%, manakala Vietnam mencecah ±70%.

Seiring dengan itu, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) menetapkan sasaran meningkatkan kadar penyertaan wanita kepada 60% menjelang 2030. Beberapa strategi utama dirangka:

Memperluas akses kepada pusat jagaan berkualiti.

Menawarkan program reskilling dan upskilling khusus untuk wanita.

Mengukuhkan polisi tempat kerja mesra keluarga, termasuk waktu kerja fleksibel dan kemudahan work from home

Namun, membaca laporan itu membuat saya terfikir.

Langkah-langkah ini mungkin berpijak pada niat yang baik, namun timbul persoalan yang lebih mendasar: apakah matlamat sebenar kita? Adakah sekadar mengejar angka, atau membina ekosistem yang benar-benar menjaga kesejahteraan wanita dan keluarga?

Di sebalik angka dan sasaran, apakah sebenarnya makna kejayaan bagi seorang wanita? Adakah ia diukur hanya dengan pencapaian kerjaya, pendapatan, atau jumlah projek yang diselesaikan?.

Perspektif yang Lebih Luas

Islam mengajar kita bahawa ukuran kejayaan bukan sekadar di dunia, tetapi di sisi Allah. Firman-Nya:

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar…” (Surah At-Tawbah: 71)

Ayat ini menunjukkan bahawa peranan wanita tidak semata-mata di rumah atau di luar rumah, tetapi di mana sahaja dia berdiri sebagai agen kebaikan, membina dan memperkukuh ummah.

Hadis Rasulullah ﷺ pula mengingatkan kita: “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap keluarganya, dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku.” (HR. Tirmizi)

Nilai Wanita di Sisi Islam

Pada pandangan Islam, martabat seorang wanita tidak terikat kepada tanggungjawab di  pasaran kerja, tetapi pada nilai takwa dan sumbangan kepada kebaikan ummah. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Aku tidak akan mensia-siakan amal orang yang beramal di antara kamu, baik lelaki atau perempuan…”

 (Surah Ali ‘Imran, 3:195)

Wanita yang membesarkan anak dengan penuh kasih sayang, menjaga akhlak mereka, dan menanam benih iman dalam jiwa mereka, itu juga adalah sumbangan ekonomi dan sosial yang besar, walaupun tidak terakam dalam KDNK.

Beban Nafkah: Amanah Lelaki

Syariat menetapkan bahawa nafkah keluarga adalah amanah utama seorang lelaki:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain, dan kerana mereka menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.” (Surah An-Nisa’, 4:34)

Ini bermakna seorang wanita tidak dipertanggungjawabkan untuk mencari nafkah. Namun, Islam memberi ruang penuh penghormatan jika seorang wanita ingin membantu kewangan keluarga mengikut keperluan, asalkan ia lahir dari kerelaan hati, bukan paksaan, serta tidak menjejaskan kehormatan dan tanggungjawab utamanya. Jika mereka memilih untuk bekerja, Islam mengiktiraf hak itu dengan syarat pekerjaan memelihara kehormatan, dengan keizinan suami serta mematuhi syarak, dan tidak menjejaskan tanggungjawab utama kepada keluarga. Malah, sumbangan itu dinilai sebagai amal soleh yang tinggi nilainya.

Nafkah lelaki adalah amanah, bantuan wanita adalah anugerah. Kedua-duanya, bila berpadu, menjadi sumber keberkatan.

Kerja Penjagaan: Modal Sosial yang Tidak Dinilai

Antara cabaran besar yang dibangkitkan dalam laporan akhbar The Star baru-baru ini ialah kerja penjagaan tidak diiktiraf sebagai sumbangan ekonomi tetapi dalam perspektif Islam, tugas ini bukan sekadar kerja, ia adalah ibadah. Sabda Rasulullah ﷺ:

“Satu dinar yang engkau nafkahkan kepada keluargamu adalah yang paling besar ganjarannya.” (Riwayat Muslim)

Kerja menjaga anak, warga emas, atau ahli keluarga kurang upaya adalah modal sosial yang membentuk generasi, mengurangkan kos sosial, dan memperkukuh moral masyarakat.

Pembangunan yang Selari dengan Keluarga

RMK-13 berpotensi menjadi pemangkin kemajuan, namun pelaksanaannya perlu berpijak pada kesejahteraan keluarga:

Bagi wanita yang mahu bekerja, sediakan kemudahan penjagaan anak yang selamat, waktu kerja fleksibel, dan perlindungan daripada diskriminasi.

Bagi wanita yang memilih untuk fokus di rumah, berikan pengiktirafan dan sokongan, kerana mereka juga membina masa depan negara.

Keutamaan Setiap Wanita Berbeza

Hakikatnya, setiap wanita memiliki medan peranan terbaik untuk dirinya. Kita mungkin berada di medan berbeza. Ada yang cemerlang menyumbang di pejabat, ada yang berjasa besar di rumah, ada yang menjadi tulang belakang di komuniti dan ada yang mengimbangi kesemuanya. Keutamaan ini berbeza mengikut keadaan, kemampuan, dan amanah hidup masing-masing.

Yang penting, setiap peranan itu dimuliakan jika dilakukan dengan ikhlas dan mengikut panduan Allah dan Rasul-Nya. Kerana di sisi Allah, kejayaan sebenar bukanlah berapa tinggi kita mendaki tangga dunia, tetapi sejauh mana kita menunaikan amanah di tempat yang terbaik untuk kita.

Akhirnya, setiap wanita adalah helaian unik dalam hamparan takdir Ilahi. Ada yang dimuliakan dengan amanah di rumah, membesarkan generasi penegak kebenaran; ada yang diangkat peranannya di medan ilmu, kepimpinan, atau khidmat masyarakat. Keutamaan kita tidak serupa, kerana setiap jiwa diukur dengan timbangan yang hanya Allah Maha Mengetahui, yang penting, setiap peranan selagi dilakukan dengan ikhlas, mematuhi syariat, dan memberi manfaat adalah sebahagian daripada sumbangan kepada ummah dan pembangunan negara. Di sisi Allah, semuanya bernilai.

Firman Allah ﷻ:

Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaan kamu, begitu juga Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman.” (Surah at-Taubah: 105)

Maka, jadilah kita wanita yang bekerja di lorong takdir masing-masing dengan penuh amanah, bersulam ihsan, agar setiap langkah menjadi ibadah dan setiap sumbangan menjadi saksi cinta kita kepada Tuhan.

Dr. Hidayah Ahmad Azam
Ketua Unit Kajian ISMA Melaka Tengah

Scroll to Top