Sambut Tahun Baru Dengan ‘Budaya’ Disko Tidak Mencerminkan Identiti Malaysia

Tular video manusia bersesakan di Bukit Bintang kerana ingin menyambut tahun baru 2026. Ada yang menceritakan pengalaman menakutkan mereka yang hampir kelemasan dalam lautan manusia.

Melihat perkara sebegini berlaku di negara Islam Malaysia membuatkan saya kembali berfikir tentang masa depan masyarakat kita terutamanya anak-anak muda yang bakal memimpin nanti.

Apakah erti sebuah tahun baharu bagi kita terutamanya orang Islam? Bagi saya, sambutan tahun baharu adalah peluang untuk kita melihat semula apa yang telah dilaksanakan dalam tahun yang lalu (muhasabah), seterusnya merencana peluang menambah baik makna kehidupan kita di masa hadapan.

Menyambut tahun baharu sepatutnya menjadi titik permulaan bagi kita memulakan sesuatu kebaikan yang boleh diikuti dan dicontohi (sunnah hasanah).

Apa yang berlaku di Bukit Bintang adalah mendekati maksiat. “Melekat-melekat” antara lelaki dan perempuan, nyanyian dan muzik seakan di disko dan kelab malam, joget lambak, terkinja-kinja dan pelbagai lagi perkara mengarut dan tidak berfaedah yang berlaku pada malam tersebut.

Mengapa kita menutup tahun lalu dan membuka lembaran tahun baru dengan aktiviti yang tidak berfaedah seperti itu bahkan boleh membawa kita melanggar batas-batas syarak dan budaya asasi negara ini.

Kadang-kadang mungkin kita terlupa bahawa kita sentiasa berpeluang mendatangkan kelainan tanpa perlu membawa masuk (import) budaya luar yang melanggar batas budaya kita. Sebagai contoh, beberapa tahun lalu seluruh dunia dapat merasakan kelainan penganjuran Piala Dunia yang berjaya mengetengahkan budaya dan citra negara penganjur.

Daripada sudut lain, kita dapat memperlihatkan cita rasa sebenar rakyat Malaysia terhadap sesuatu perkara. Yang terbaru, filem animasi tempatan terbukti berterusan dapat menyaingi apa yang ditayangkan oleh produksi luar. Apa kata kita luaskan kemampuan ini dalam mempromosi Tahun Melawat Malaysia dan Sambutan Tahun Baharu?

Negara ini mempunyai sejarah peradaban yang panjang dan sarat dengan pencapaian yang boleh dikongsikan dengan dunia luar. Mari kita fokus membina tarikan berteraskan identiti sebenar negara yang berasaskan Melayu dan Islam ini. Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

Jika boleh saya cadangkan satu azam baru kita sebagai rakyat Malaysia untuk tahun 2026, ianya adalah pembinaan sifat yakin diri tanpa mengagungkan budaya luar hanya kerana sebuah populariti. Angkatlah budaya baik, sopan-santun, pemeliharaan adat bersendikan syarak yang memang telah lama berakar umbi dalam kehidupan masyarakat kita.

Siapa kita adalah tentang apa yang kita perlihatkan, identiti negara kita juga adalah tentang budaya apa yang kita tunjukkan kepada dunia. Tepuk dada, tanya selera.

Ustaz Muhammad Shahier bin Sa’min
Ketua Pemuda ISMA

Scroll to Top