Kehadiran tetamu agung Ramadan amat sinonim dengan al-Quran. Bulan ini disebut juga dengan Syahrul Quran atau bulan al-Quran kerana di dalamnya 30 juzuk al-Quran dari Luh Mahfuz diturunkan ke langit pertama dunia.
Al-Quran kemudiannya diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril selama 23 tahun iaitu 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah secara berperingkat.
Pemilihan Ramadan sebagai bulan penurunan al-Quran menyebabkan kedudukan bulan ini diangkat sebagai penghulu bagi segala bulan. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT :
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk antara yang benar dengan yang salah.”(Surah al-Baqarah 2:185)
Menjadi kerutinan tahunan Ramadan, pesta tilawah dan tadarus al-Quran adalah kemeriahan berkala dalam kalangan umat Islam.
Aktiviti tilawah al-Quran, berlumba-lumba mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran melalui kumpulan tadarus telah menjadi budaya yang amat baik dalam kalangan masyarakat Malaysia hari ini.
Pandemik Covid19 yang menguji umat Islam ketika ini amat mencabar kemeriahan Ramadan di mana tiada lagi gema tilawah dan tadarus di surau dan masjid seperti biasa, namun berkat kecanggihan teknologi hari ini aktiviti tilawah, tahsin al-Quran dan tadarus terus berjalan di medan maya melalui pelbagai aplikasi call vidoe, call whatsapp, zoom, jitsi meet dan lain-lain.
Pelaksanaan wajib PKP dan keinsafan wabak pandemik Covid19 yang dilalui pada bulan Syaaban lalu juga secara tidak langsung telah membantu umat Islam bersiap siaga untuk menghidupkan syiar al-Quran di bulan Ramadan al-Mubarak.
Wanita Isma di semua cawangan di seluruh Malaysia tidak ketinggalan sama-sama merancang bagi merancakkan tilawah dan tadarus Ramadan pada kali ini. Cuma sedikit berbeza tilawah dan tadarus pada tahun ini hanya dapat dilakukan melalui atas talian di media-media sosial.
Program ini mendapat sambutan yang amat baik daripada semua peringkat umur wanita khususnya wanita yang berkerjaya yang mengambil sedikit ruang dan kelapangan yang ada dalam fasa pelaksanaan PKP ini.
Sebagai contoh di cawangan Ipoh terdapat lebih daripada 500 wanita bertilawah dan bertadarus atas talian ketika ini. Aktiviti ini juga merupakan sebahagian daripada new normal Ramadan yang terpaksa dilalui oleh semua muslim pada Ramadan 1441H ini.
Al-Quran di bulan Ramadan bukan sekadar tilawah dan tadarus, lebih penting juga daripada itu, umat Islam perlu membudayakan tafsir dan tadabbur al-Quran agar pemahaman terhadap kandungan al-Quran mampu difahami, diterjemah dan dipraktikkan dalam kehidupan sebagai panduan dan pedoman penting dalam kehidupan umat Islam. Agak sukar untuk membawa perubahan dalam masyarakat jika al-Quran sekadar dibaca tanpa difahami mesej dan isi kandungannya.
Imam al-Zarkasyi mentakrifkan tafsir sebagai bidang ilmu berkaitan al-Quran dengan penjelasan makna-maknanya, mengeluarkan hukum-hakam dan hikmah ayat-ayat al-Quran. Mentafsirkan al-Quran memerlukan penguasaan ilmu bahasa Arab, nahu, sorof, bayan, usul al-fiqh, qira’at, asbab al-nuzul (sebab-sebab penurunan ayat al-Quran), al-nasikh wa al-mansukh dan lain-lain ilmu berkaitan.
Syarat-syarat tersebut jelas menunjukkan bukan semua orang mampu mentafsirkan al-Quran, tambahan pula seseorang dilarang mentafsir sendiri ayat al-Quran berdasarkan apa yang terlintas di pemikiran.
Rujukan terhadap kitab tafsir yang muktamad perlu dilakukan bagi mengetahui maksud sebenar sesuatu ayat itu. Kitab-kitab tafsir berdasarkan riwayat sahih juga amat baik jika dijadikan bahan bacaan tambahan dalam tempoh menjalani ibadah puasa ini. Antara kitab tafsir yang patut menjadi rujukan ialah Kitab Tafsir Ibn Kathir, Tafsir Ayat Hukum, Tafsir al-Munir dan lain-lain lagi.
Selain mendalami tafsiran, budaya tadabbur juga perlu dihidupkan bagi mengambil pengajaran dan makna-makna di sebalik zahir ayat bagi mendalami hakikat satu-satu perkara.
Tadabbur adalah perkara yang disuruh dalam agama, ia perlu dilakukan bagi meningkatkan renungan dan penghayatan terhadap kandungan al-Quran sehinggalah meresap ke dalam hati. Perintah Allah SWT agar manusia bertadabur dapat dilihat melalui firman Allah SWT :
“Maka apakah mereka tidak mentadabburkan al-Quran? Atau hati mereka terkunci.” (Surah Muhammad, ayat 24)
Tadabbur merupakan salah satu daripada elemen penting dalam rangka memahami al-Quran khususnya makna-makna yang tersrat. Seperti tahun-tahun lalu, dalam merangka penyusunan program ini, Wanita Isma memasukkan tadabbur ayat sebagai elemen tambahan dalam tilawah dan tadarus.
Ketua kumpulan amat berperanan memilih ayat-ayat tertentu untuk di tadabbur bersama-sam dengan ahli kumpulan. Walaupun dalam kekangan PKP ketika ini, aktiviti ini amat bermanfaat dan mampu menambah kefahaman dan meneliti apakah yang perlu dilakukan terhadap mesej Allah SWT.
Dengan cara bertadabbur, ia dapat mengkiaskan pengajaran itu terhadap kehidupan manusia secara peribadi atau masyarakat.
Tafsir dan tadabbur berkait rapat antara satu sama lain. Tadabbur adalah maksud terbesar daripada tafsir kerana banyak ayat al-Quran menyuruh manusia mengambil pengajaran dan mematuhi arahan Allah SWT. Tadabbur tidak akan terhasil melainkan selepas mengetahui tafsirannya. Pengetahuan yang benar daripada tafsir akan memberi kesan kepada tadabbur pada ayat-ayat tertentu.
Wanita Isma mendapat makum balas yang amat positif daripada peserta-peserta sepanjang program ini berjalan. Semoga aktiviti seperti ini dapat sama-sama kita teruskan dalam tahun-tahun akan datang.
Bagi meraikan peserta-peserta tilawah, tadarus dan tadabbur ini, satu majlis yang dinamakan sebagai REHAL RAMADAN WANITA MEGA akan bersiaran atas talian meraikan peserta-peserta akan diadakan pada 16 Mei 2020.
Semua wanita di seluruh Malaysia dijemput bersama-sama menonton di TV Pertiwi. Semoga program seperti ini dapat menyumbang meningkatkan syiar al-Quran dan mendekatkan masyarakat dengan al-Quran.