Semangat Kesukarelawanan : Andalah Pemuda Kiriman Tuhan!

Kesukarelawan secara umumnya bermaksud melakukan sesuatu dengan kehendak sendiri, tidak dipaksa atau dikerah, dengan niat yang ikhlas dan dengan tidak mengharapkan apa-apa pulangan untuk diri sendiri dari sudut balasan bersifat materalistik atau kebendaan.

Tetapi apa yang diharapkan hanyalah keredhaan Allah SWT ke atas kehidupannya.

Dan Islam secara khususnya sendiri memberikan petunjuk yang amat menggalakkan akan amalan kesukarelaan melalui ayat al-Quran yang merujuk konsep 𝘧𝘢𝘴𝘵𝘢𝘣𝘪𝘲𝘶𝘭 𝘬𝘩𝘢𝘪𝘳𝘢𝘵 iaitu berlumba-lumbalah dalam melakukan kebajikan.

Firman Allah SWT:

يُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَيُسَٰرِعُونَ فِي ٱلۡخَيۡرَٰتِۖ وَأُوْلَٰٓئِكَ مِنَ ٱلصَّٰلِحِينَ

Mereka beriman kepada Allah dan hari penghabisan, mereka menyuruh kepada yang 𝘮𝘢’𝘳𝘶𝘧dan mencegah yang mungkar dan bersegera kepada (mengerjakan) pelbagai kebajikan, mereka itu termasuk orang yang soleh.

(Surah Al-Imran : 114)

Dalam Tafsir Al-Muyassar juga ada menafsirkan ayat وَيُسٰرِعُونَ فِى الْخَيْرٰتِ (dan bersegera kepada (mengerjakan) pelbagai kebajikan) dengan membawa maksud bergegas melaksanakan kebaikan tanpa ada rasa berat kerana mereka mengetahui besarnya pahala dari amal tersebut.

Berdasarkan ayat ini, dapatlah difahami bahawa antara asas utama yang perlu dititikberatkan dalam kerja-kerja kesukarelaan ialah memelihara hubungan yang rapat dengan Allah SWT dan juga dalam masa yang sama memelihara hubungan secara langsung dengan manusia.

Selain itu kita juga dapat menzahirkan rasa syukur yang tinggi ketika melakukan aktiviti Kesukarelawanan. Bayangkan di kala hampir jutaan rakyat ditimpa musibah di kala #Pandemik #Covid19 mula melanda dan kita juga adalah antara mereka yang terkesan teruk. Boleh jadi musibah terbesar yang kita hadapi adalah separuh gaji kita telah dipotong kerana kesan 𝘥𝘰𝘮𝘪𝘯𝘰𝘴 dalam ekonomi yang membuatkan hampir keseluruhan rakyat menimpa akibat yang sama.

Namun, apabila kita mengagahkan diri dengan turun ke medan menghulurkan bantuan pastinya monolog pertama yang akan muncul dalam jiwa kita adalah,”𝘢𝘥𝘢 𝘭𝘢𝘨𝘪 𝘳𝘶𝘱𝘢𝘯𝘺𝘢 𝘰𝘳𝘢𝘯𝘨 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘭𝘦𝘣𝘪𝘩 𝘴𝘶𝘴𝘢𝘩 𝘥𝘢𝘳𝘪 𝘢𝘬𝘶”.

Kita sangka gaji kita dipotong dan kita berada dalam kesusahan. Hakikatnya, kita masih ada rumah untuk berteduh, kereta untuk bergerak dan kudrat badan untuk meneruskan kehidupan. Sedangkan ada yang gaji mereka bukan setakat dipotong tetapi hilang terus sumber pendapatan yang ada. Ada pula sakit menimpa, dan anak-anak yang perlu diberi makan. Rumah mereka pula hanya sebesar bilik tidur kita.

Kita sangka gaji kita dipotong hampir 90% dan kita berada dalam kesusahan. Namun kita masih ada pasangan yang masih mendapat gaji penuh dan tempat berteduh yang selesa.

Sedangkan mereka di luar sana, sudahlah gaji dipotong hampir 90%, hidup pula sebagai ibu atau bapa tunggal. Perit dan jerih mereka membesarkan anak-anak memang tidak dapat terungkap dengan kata-kata.

Monolog dalaman ini sangat besar ertinya.

Melaluinya secara tidak sedar, perlahan-lahan rasa syukur mula menerjah dalam hati. Kesannya, kita secara tidak langsung akan lebih bersemangat untuk membantu mereka yang memerlukan menggunakan segenap aspek kemampuan yang kita ada.

Tiada duit, ada kudrat, manfaatkannya.
Tiada kudrat, ada duit, manfaatkannya.
Tiada duit dan kudrat, ada kenalan, manfaatkannya.

Pokoknya, semangat kesukarelawanan ini boleh terzahir dalam bermacam keadaan. Apabila semangat ini telah subur dalam jiwa dan masyarakat kita maka kita tidak perlu risau lagi dengan segala macam ujian dan musibah yang melanda.

Tetapi semangat ini sukar untuk kita rasainya tanpa kita turun sendiri ke medannya. Diakui bahawa ianya bukanlah satu tugasan yang mudah. Tugasan ini tidak memberi pulangan metrealistik yang menguntungkan bahkan ianya meletihkan.

Kita perlu mengorbankan masa santai kita bermain dengan anak-anak, ber”me-time” bersama pasangan, menziarahi ibubapa dan sebagainya hanya dengan menziarahi dan memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan. 

Keluar lagi duit minyak kereta, belum lagi kos tersembunyi seperti minyak hitam, topup telco, bunga tayar dan segala macam kos yang kita sendiri sedia maklum ada pada kita.Tetapi semua itu sebenarnya tidak akan mampu memberi kesan apa pun setelah mana tugasan kesukarelawanan itu selesai.

Cukuplah senyuman daripada penerima itu menjadi penyejuk hati. Rasa syukur yang terbina juga sebenarnya sudah lebih dari cukup untuk menggambarkan betapa puasnya kita apabila turun ke medan.

Maka, sukalah dengan itu saya ingin menyampaikan seruan kepada sahabat semua agar bersama-sama kita berganding bahu, menyoroti perjalanan kesukarelawanan ini demi memastikan adanya kita di dunia ini tidak sekadar mementingkan diri kita dan keluarga sahaja, bahkan kita juga mementingkan kehidupan masyarakat di sekeliling kita secara umumnya.

Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ الله عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ, ةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ الله عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ

“Barang siapa yang memudah kesulitan seorang mu’min dari berbagai kesulitan-kesulitan dunia, Allah akan memudahkan kesulitan-kesulitannya pada hari kiamat. Dan siapa yang memudahkan orang yang sedang dalam kesulitan niscaya akan Allah memudahkan baginya di dunia dan akhirat” (HR. Muslim).

Muhamad Afif Bin Idris
AJK Pemuda ISMA Nilai

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat