Seminar Akil Baligh Fokus Pendidikan Seksualiti

KEMAMAN, 6 Disember  — Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Kemaman dengan kerjasama surau Taman Taman Geliga Saujana telah menganjurkan Seminar Akil Baligh ; Bunga Yang Sedang Berkembang di surau Taman Geliga Saujana. 

Bertujuan memberikan kefahaman awal kepada remaja perempuan tentang perubahan tubuh, emosi dan tanggung-jawab syarak apabila memasuki usia baligh, seminar ini disertai 52 orang remaja perempuan berusia 9 hingga 15 tahun.

Seminar ini dibimbing oleh Ustazah Nurul Adzha Ghazali dan Ustazah Siti Nurul Kauthar Saedal Atas, aktivis ISMA Kemaman yang menyampaikan pengisian secara santai dan interaktif. Pelbagai topik penting diketengahkan termasuk apa itu akil baligh, tanda-tanda baligh, kitaran haid, istihadah, cara menyucikan diri serta adab dan larangan ketika haid.

Program yang berlangsung dari 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari itu dimeriahkan dengan penyertaan aktif para peserta yang berani bertanya dan berkongsi pengalaman. 

Suasana dilaporkan ceria dan penuh dengan kasih sayang, selari dengan fokus penganjur untuk mendidik remaja perempuan dengan penuh hikmah. Seperti yang telah diungkapkan dalam sesi motivasi, 

“Setiap anak perempuan adalah bunga yang sedang berkembang. Hari ini, mereka belajar tentang diri, perubahan tubuh, emosi, dan adab yang perlu dijaga ketika memasuki usia akil baligh,” kata Safira Aiza Ahmad, pengarah program Seminar Akil Baligh. 

Pihak penganjur turut menzahirkan rasa syukur atas kelancaran program yang diharapkan membawa impak positif kepada para peserta. 

“Alhamdulillah, suasana ceria dan penuh kasih sayang mengiringi sesi pembelajaran mereka. Moga anak-anak ini membesar menjadi Muslimah yang yakin, faham syariat, dan menjaga kehormatan diri,” ujarnya lagi. 

Seminar ini diharap dapat menjadi langkah penting dalam membimbing generasi muda untuk memahami diri dengan lebih baik, memelihara maruah serta melangkah ke alam remaja dengan keyakinan sebagai Muslimah berilmu dan berakhlak mulia.

Scroll to Top