Berkali-kali isu ini timbul. Berkali-kali juga salah faham akan bangkit. Melihat pada komen-komen netizen, dengan maklum balas artis yang punya pengaruh, jauh disudut hati saya berasa risau. Rata-rata memandang ringan tentang perkara ini. Saya takut kalau-kalau satu zaman nanti, memegang anjing menjadi budaya baharu dalam masyarakat Islam.
Diharapkan dengan perkongsian ini sedikit sebanyak memberi tambahan ilmu buat kita semua, tentang pentingnya faham dari sekadar tahu.
Beza tahu dan faham.
—
Tahu; kita tahu anjing itu najis. Kalau tersentuh dalam keadaan basah boleh disucikan.
Faham; kita faham anjing itu najis, tersentuh boleh dibersih, tapi hikmah sebenarnya Allah melarang kita dari suka-suka mendekati najis dan mengotorkan diri. Sebab Islam itu bersih.
Maksudnya, dalam isu sentuh anjing ini, menyentuh anjing secara sengaja kerana menajiskan diri tanpa tujuan atau suka-suka adalah haram di sisi Islam.
Imam al-Bujairimi dan Sheikh Ibnu Hajar al-Haithami menyatakan dalam kitab Hasyiah Bujairami ala Syarah Manhaj al-Tullab, m/s 105 dan Hawasyi Tuhfah al-Manhaj bi Syarah al-Manhaj, m/s 174, bahawa menyentuh najis secara sengaja ia adalah haram.
Jadi, umat Islam tidak boleh suka-suka pegang anjing, apatah lagi berbangga dengan perbuatan tersebut.
Ya, anjing memang comel, tidak dinafikan. Ramai yang suka melihat anjing yang gebu, bijak dan comel. Tetapi ini tidak bermakna suka sampai perlu sentuh, pegang dan timang. Cukup sekadar mengucap puji-pujian kepada Allah swt terhadap ciptaanNya yang sempurna itu.
—
Saya bawakan contoh lain tentang isu tahu dan faham ini.
Kita tahu couple itu haram, tetapi mengapa kita masih juga bercouple. Sebab kita tidak kefahaman, mengapa Allah mengharamkan couple itu. Firman Allah swt,
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)”, (Al-Isra’ 17:32).
Jikalau kita memahami ayat tersebut, pasti kita menolak budaya couple-couple ini.
—
Indahnya Islam, Allah swt telah menggariskan semua hukum hakam selari dengan fitrah manusia. Jikalau kita rasa hukum tetapan Allah itu tidak selari dengan kita, maksudnya kita sedang bicara tentang memuaskan nafsu.
Apapun, dalam kehidupan ini antara apa yang kita suka dengan yang Allah suka, dahulukan hak Allah dulu. Agar kita tergolong dalam golongan orang-orang yang beruntung. Semoga selepas ini, untuk kita lakukan sesuatu timbang tara dahulu sejauh mana kita faham dan tahu.
“Kami dengar dan Kami taat (Kami pohonkan) keampunanMu Wahai Tuhan kami, dan kepadamu jualah tempat kembali”, (Surah al-Baqarah: 285)
Dr. Nashrah Hani Jamadon
Ketua BKOM ISMA Bangi