Sesungguhnya Aku Berhijrah kepada Allah!

Saban tahun, kita menyambut awal Muharam yang dikira permulaan tahun mengikut tahun hijri. Amat sesuai saat ini kita melihat semula sejauh mana kehidupan kita pada hari ini bertepatan dengan matlamat Allah menjadikan kita di muka bumi ini?

Pertama, ubudiyyah (penghambaan) penuh kepada Allah SWT. Ketaatan itu sendiri bererti melakukan apa yang diperintahkan Allah dan meninggalkan apa yang dilarangNya. Lalu, di antara makna orang yang berhijrah itu adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah. Sabda Nabi SAW:

وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ

Manakala seorang muhajir (yang berhijrah) adalah seseorang yang meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah SWT.” (Hadith riwayat al-Bukhari, No.10, 6484, Muslim, No.40)

Sejauh mana kita telah menjadi hamba yang tunduk patuh kepadanya dari segala aspek kehidupan? Sejauh mana kita menjadikan hidup dan mati kita hanya kerana Allah?

Kedua, khalifah di atas bumi ini, memakmurkan bumi agar mengikut segala yang ditentukan oleh syariat Islam. Lalu, menegakkan agama Allah dalam setiap sudut kehidupan seperti  undang-undang, kekayaan, politik, kehakiman, jihad  dan  lain-lain sehinggalah Islam menjadi agama yang tertinggi serta semua makhluk tunduk kepadanya adalah tanggungjawab kita.

Oleh itu, menurut buku Al-Muntolaq menyeru manusia kepada kebaikan dan melarang mereka dari kemungkaran  dianggap sebagai ‘jihad’ dan tetap thabat di atas jalan dakwah dianggap sebagai ‘hijrah’. Para Da’i juga mendapat pahala Muhajirin sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Imam Ibnu Taimiyah dalam mentafsirkan ayat al-Quran berikut:

Firman Allah S.W.T.:

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَنَصَرُوا أُوْلَئِكَ هُمْ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا

Orang-orang yang beriman, dan orang berjuang serta berhijrah dijalan Allah dan orang-orang yang memberi tempat tinggal dan menolong, mereka itulah orang-orang beriman yang sebenarnya.” (Al-Anfal : 74)

Sejauh mana kita telah berusaha untuk duduk bersama kelompok orang soleh untuk melakukan amal dakwah ini? Sejauh mana kita menyebarkan kebaikan dan melarang keburukan pada anak-anak, jiran-jiran , sanak saudara serta masyarakat sekeliling kita?

Maka jadikanlah detik awal Muharam ini untuk kita memuhasabah diri sejauh mana kita telah memastikan ‘hijrah’ kita untuk mencapai matlamat penciptaan kita telah tercapai. Kebiasaanya kita meletakkan azam-azam untuk mencapainya. Mari kita lihat azam kita dari dua aspek:

1) Adakah kita telah merancang perubahan hidup kita? Bagaimana kita memastikan azam kita akan tercapai dengan jayanya? Supaya azam tidak hanya tinggal azam.

Sekiranya kita menyulusuri sirah Rasulullah SAW sebelum berhijrah, kita dapat melihat Rasulullah tidak melakukan hijrah kecuali setelah melakukan banyak persediaan sebelum berangkat berhijrah, antaranya menyiapkan  persediaan peribadi para sahabat di Makkah (Muhajirin) yang memakan masa selama 13 tahun serta persediaan Madinah sebagai tempat penghijrahan bermula dengan perjanjian Aqobah pertama.

Maka rancanglah dan letakkanlah azam-azam kecil yang kita boleh capai dahulu untuk sampai kepada azam-azam yang lebih besar.

2) Sejauh mana kita telah berkorban untuk memastikan azam kita berjaya? Telah berkorban wang dan harta? masa berharga? Melawan rasa malas kita? Bermujahadah melawan nafsu kita?

Kalau kita melihat kisah hijrah Baginda SAW dan para sahabat, kita mengetahui ianya tidak semudah melancong pada hari ini bahkan terlalu banyak pengorbanan yang telah berlaku sebelum dan semasa berhijrah. Mereka meninggalkan segala yang dicintai dan dimiliki di Makkah dan menempuh pelbagai ujian dan rintangan dalam perjalanan ke Madinah. Belum termasuk kisah hijrah Ummu Salamah dan Zainab puteri Rasulullah yang penuh dengan kisah duka.

Lalu apa yang telah kita korbankan? Adakah kita sanggup berkorban?

Sesungguhnya Allah SWT  berfirman:

إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّر مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ

Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum, sebelum kaum itu sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka” (Ar-Ra’d : 11).

Wallahua’lam. Marilah kita berhijrah kepada Allah! Selamat menyambut tahun baru hijrah 1442.

Ustazah Mahfudzah Zulemly
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)
ISMA Bangi

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat