Hendak menjadi muslim yang sejati haruslah berlaku adil pada semua perkara lebih-lebih lagi isu aqidah.
Peribahasa Melayu mengatakan “setapak jangan lalu, setapak jangan surut”.
Bertepatan ungkapan ini dengan isu hangat Awal Ashari sekeluarga yang menyambut perayaan Hari Natal di rumah kawannya dengan caption “kami cuma hormat tuan rumah, bukan meraikan”.
Jika semudah itu menggadai aqidah, alangkah sedihnya Rasulullah SAW mendengarnya.
Alangkah sedihnya para sabiqun al awwalun bermandi darah mempertahankan aqidah.
Saya tidak menyangkal keakraban kita dalam menjaga hubungan sesama manusia. Saya juga ada kawan bukan Islam. Rakan yang menyambut Krismas. Saya tiada masalah menekan butang ‘like’ di facebooknya dan tersenyum melihat mereka bahagia. Tiada masalah sama sekali.
Kita bukan benci pada agama mereka tetapi sebagai seorang Muslim, cara hormat kita haruslah berbeza.
Jikapun mereka mengenakan syarat dress code untuk menghadiri majlis mereka, apa salahnya kita sebagai muslim bersikap setapak jangan lalu, setapak jangan surut pada apa-apa permintaan yang menggugah iman dan aqidah.
Jika was-was boleh atau tidak, tinggalkan yang syubhah.
Bukan menepis fatwa ulama yang telah lama disepakati.