SIS Cuba Cabar Batalkan Fatwa Melalui Mahkamah Sivil: ISMA Menyokong Penuh Titah Sultan Selangor dan Seru Ummah Adakan Solat Hajat dan Doa Untuk Kemenangan Kes Ini 

ISMA dengan penuh takzim menjunjung kasih atas titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang menyeru umat Islam di negeri ini untuk mengadakan solat hajat dan doa agar Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diberikan kemenangan dalam kes semakan undang-undang terhadap fatwa ke atas Sister in Islam (SIS).

ISMA menyokong penuh titah ini sebagai satu langkah bagi mempertahankan kesucian akidah dan kedaulatan institusi agama Islam di negara ini, khususnya di negeri Selangor Darul Ehsan.

Pada tahun 2014, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah mengeluarkan fatwa yang mengisytiharkan pertubuhan Sister in Islam (SIS) sebagai sesat kerana menganut fahaman liberalisme dan pluralisme agama. Fatwa ini seterusnya melarang sebarang bahan terbitan mereka disebarkan di negeri Selangor.

SIS Forum Malaysia telah membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam cubaan untuk mencabar keabsahan fatwa tersebut. Kes rayuan berkenaan akan diputuskan di Mahkamah Persekutuan pada 19 Jun 2025 (Khamis). Semakan undang-undang ini dibuat dengan alasan fatwa itu menyentuh hak dan kepentingan undang-undang yang sah (legal interest). SIS berhujah bahawa mereka merupakan entiti syarikat Sdn Bhd, bukannya sebuah pertubuhan agama dan tidak tertakluk kepada fatwa tersebut.

Fatwa yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor adalah berlandaskan hukum syarak dan ilmu para ulama yang berpengalaman luas. Ianya berperanan sebagai benteng utama membendung fahaman sesat, pemikiran liberal, dan pluralisme agama yang semakin meracuni masyarakat Islam pada masa kini.

Cubaan mencabar fatwa ini melalui mahkamah sivil adalah satu isyarat yang amat membimbangkan dan berpotensi melemahkan autoriti institusi agama Islam. Ini merupakan serangan terhadap struktur kesatuan ummah dan kepimpinan Islam yang sah di sisi syarak dan undang-undang negara.

Masyarakat Islam terutama di negeri Selangor mesti bersatu dan sepakat dalam mendepani isu ini. Berdasarkan fakta dan kronologi kes, SIS menggunakan perisai entiti korporat untuk mengelak pengesahan terhadap pemikiran mereka yang nyata bercanggah dengan prinsip Islam. Ini adalah taktik undang-undang bagi memisahkan ‘badan’ dengan ‘ideologi’. Dalam konteks Islam, ideologi dan perbuatan tidak boleh dipisahkan. Mana-mana individu, organisasi atau entiti yang menyebarkan fahaman yang menyeleweng dan ajaran sesat wajib diambil tindakan tegas.

Cabaran undang-undang SIS terhadap fatwa ini membuktikan wujudnya satu “move” yang lebih besar untuk menolak autoriti institusi agama Islam di negara ini melalui sistem perundangan sivil. Ini adalah satu bentuk “soft confrontation” terhadap sistem nilai  ummah.
ISMA serius dalam usaha bagi memartabatkan konsep ummah sebagai satu unit komuniti yang memiliki kesatuan akidah dan menolak fahaman liberlaisme dan pluralisme yang merosakkan jati diri Islam. Kita akan berjuang untuk menghalang usaha mana-mana pihak yang mahu menyuntik nilai barat ke dalam wacana Islam di Malaysia dan mengaburkan sempadan antara iman dan kekufuran.

Sekiranya SIS dibiarkan begitu sahaja tanpa apa-apa tindakan tegas atau dikecualikan daripada fatwa ini, ianya akan membawa implikasi buruk terhadap kesatuan ummah di negara kita. Kekeliruan dalam masyarakat boleh merebak akibat daripada ideologi songsang mereka terutama dalam kalangan wanita dan golongan muda. Peranan dan fungsi institusi agama seperti Majlis Fatwa akan semakin terhakis dan agenda fahaman liberalisme akan mendapat pengiktirafan secara undang-undang dan dinormalisasikan dalam kerangka Perlembagaan.

Saya menyeru agar gerakan Islam dan NGO-NGO Islam bersatu suara untuk memberi penerangan kepada masyarakat tentang bahaya fahaman liberal dan cubaan melemahkan institusi agama.

Kita meyakini bahawa selagi umat Islam teguh mempertahankan syariah dan bersatu atas dasar aqidah, maka kebenaran pasti akan mengatasi kebatilan.

Ustaz Shuhaib Ar-rumy Selamat
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
10 Jun 2025

Scroll to Top