SJKC: Media Perdana Harus Angkat Asas Kenegaraan dan Identiti Malaysia, Bukan Sebaliknya.

Apa sebenarnya objektif dan motif yang cuba disampaikan oleh gabungan media-media arus perdana melalui promosi berterusan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Malaysia?

Astro Awani, Sinar Harian, The Star, Sin Chew Daily dan Malaysia Nanban baru-baru ini, telah berkolaborasi membuat liputan khas mengenai Sekolah Jenis Kebangsaan Cina. Tema yang ingin diangkat adalah realiti pelajar bukan Cina yang belajar di sekolah-sekolah terbabit. Sebab itulah, jika kita perhatikan, berita dan artikel khas berkenaan sjkc disiarkan secara berterusan dalam dua tiga hari dalam saluran media.

Kononnya, liputan adalah disasarkan untuk mengisahkan cabaran dan realiti pelajar berbangsa bukan Cina menjalani pembelajaran di sekolah-sekolah tersebut, tetapi, sangat jelas, apa yang lebih ditonjolkan adalah kelebihan dan relevansi sekolah jenis kebangsaan cina untuk terus wujud di negara ini. Umum mengetahui, pelbagai kontroversi telah timbul berkenaan SJKC terutamanya pihak seperti Dong Zhong (Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia) telah lama mempertahankan sjkc meskipun polarisasi dan perpaduan negara sebenarnya tidak menuju ke arah yang lebih baik.

Sebelum ini, lembaga sekolah serta PIBG daripada 11 SMJK dan Sekolah Menengah Cina SM (C) di Pulau Pinang membantah pelaksanaan secara paksa sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Bagaimana sebuah negara yang mempunyai bahasa rasminya tidak mampu mengetengahkan bahasanya sendiri sebagai bahasa dan lingua pembelajaran di sekolah. Pelik dan ajaib. Hanya di bumi Malaysia!

Dong Zhong tidak menggunakan silibus sejarah yang ditetapkan pihak KPM. Mereka menggubal kurikulum sejarah menurut perspektif sendiri dan memasukkan lebih banyak kandungan berkaitan sejarah dunia berbanding sejarah Malaysia. Mereka melihat penulisan sejarah negara dimanipulasi orang politik. Hakikatnya mereka gagal memahami sejarah negara dengan tepat dan betul.

Dong Zhong kekal ekstrim dan bersifat cauvinis dalam mempertahankan pendidikan kaum cina meskipun berdepan amaran mana- mana pihak termasuk kerajaan yang memerintah. Bagi mereka kepentingan kaum itu adalah mempertahankan identiti dan bahasa mereka. Oleh itu mereka akan bersungguh mempertahankan hal tersebut terutamanya dari sudut kewangan dan fasiliti.

Identiti negara dan asas negara perlu difahami dengan jelas melalui perlembagaan negara kita. Mereka yang faham tentang sejarah juga mampu faham tentang asas kenegaraan pembentukan Malaysia. Pembelajaran terhadap subjek Sejarah di dalam silibus persekolahan sepatutnya menatijahkan rasa kebanggaan yang tinggi terhadap perjuangan, budaya dan identiti negara Malaysia. Perlembagaan Malaysia ini penuh dengan perkara dan fasalnya menggariskan undang-undang tertinggi. Inilah dokumen bertulis tertinggi yang menjadi asas kenegaraan kini. Semangat asal perlembagaan yang diinginkan.

Berbalik kepada persoalan peranan media saluran perdana, apakah sebenarnya yang ingin ditonjolkan dan diharapkan? Kesatuan nasional kah atau perpecahan yang nak dibawa? Ternyata, saya melihat agenda untuk meletakkan identiti negara di tempatnya yang betul tidak dimainkan dengan baik. Saya tidak menentang pembelajaran bahasa Cina namun sebagai asas perpaduan nasional yang betul, pemerkasaan bahasa Melayu yang sepatutnya menjadi mesej dan seruan lebih kritikal.

Hj. Muhammad Aizat bin Rasli
Timbalan Presiden ISMA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat