BANGI, 9 Julai – Islam merupakan satu cara hidup merangkumi aspek ekonomi, pendidikan, politik, sosial, kebajikan dan lain-lain yang terkait dengan akidah.
Hal ini termasuk dalam urusan jual beli seperti yang dikatakan oleh Aktivis Isma, Norhidayah Ismail.
“Islam mengajar umat setiap satu aspek dalam hidup ini ada kaitan dengan akidah kita sebagai seorang Muslim.
“Ekonomi, pendidikan, politik, sosial, kebajikan, dan lain-lain setiap satunya perlu diterapkan agenda Islam,” katanya.
Ujarnya apabila pengguna dan peniaga Muslim melancarkan kempen buy Muslim first dengan tanda pagar bmf, ramai yang skeptikal.
“Kata mereka yang skeptikal, perniagaan perlu tumpu pada kualiti, promosi, harga, pakej produk dan perkhidmatan dan lain-lain.
“Tidak perlu jadi pejuang untuk apa-apa agenda. Bahkan kata jangan campur adukkan agama atau jual agama,” katanya.
Namun, beliau tidak pula kedengaran mereka yang skeptikal dengan #bmf menentang kempen raikan “cinta songsang” sempena Bulan Bongkak (Pride Month), walaupun tiada kaitan dengan produk atau perkhidmatan mereka.
“Apa kaitan jam tangan, baju, tayar, kopi dengan agenda hubungan seksual songsang ini?,” katanya.
Ujarnya jangan apologetik apabila mahu mengangkat tema Islam dalam kehidupan, kerana agenda kufar tidak pernah segan silu mengangkat agenda mereka.