1. Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) merupakan sebuah gabungan NGO yang didokongi oleh NGO-NGO Islam dari pelbagai kepakaran dan latarbelakang.
2. Baru-baru ini, telah dilaporkan bahawa seorang anggota PDRM yang merotan enam remaja lelaki kerana ingkar PKP di Kunak, Kota Kinabalu akan diambil tindakan.
3. PEMBELA melahirkan kekesalan kami kepada pihak berwajib yang mahu mengambil tindakan terhadap anggota PDRM tersebut kerana kami yakin bahawa anggota PDRM tersebut telah bertindak dengan tepat dan mengikut lunas undang-undang.
4. Undang-undang membenarkan tindakan kekerasan diambil terhadap mereka yang ingkar dengan kekerasan yang munasabah. Tindakan polis berkenaan tidak mendatangkan kecederaan kepada pelaku ingkar tersebut dan masih di dalam lingkungan kebenaran undang undang
5. Keadaan getir di mana penularan wabak COVID-19 semakin membimbangkan dan pihak kerajaan pun sudah memberikan amaran yang keras berulang-ulang kali mewajarkan lagi tindakan tegas sebegini.
6. Tindakan anggota polis yang merotan pesalah PKP tersebut juga disokong oleh Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang mengulas perkara tersebut seperti yang dilaporkan di akhbar baru-baru ini.
7. Pihak PEMBELA berharap agar pihak PDRM dan Kementerian Dalam Negeri khususnya untuk menilai semula keputusan untuk mengambil tindakan terhadap anggota polis tersebut.
Hj. Aminuddin Bin Yahaya
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) / Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)