Oleh: Hawa Mahmood
KEMAMAN, 26 Okt– Berikutan penularan wabak COVID-19 yang telah memasuki gelombang ketiga di negara ini, banyak Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini telah mengambil saranan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia bagi melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara atas talian melalui aplikasi persidangan video seperti Zoom, Skype, MS Team dan pelbagai lagi aplikasi bagi menyokong pembelajaran norma baharu ini. Ini adalah penting bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam pembelajaran khususnya pelajar yang perlu bergraduat.
Pembelajaran atas talian ini pastinya mempunyai cabaran dan kekangan yang berlainan berbanding pembelajaran secara bersemuka di kampus, dimana pelajar tidak lagi boleh bergantung kepada pensyarah semata-mata sebagai sumber ilmu.
Dengan kesedaran untuk membantu pelajar melalui situasi PdP norma baharu ini, PEMUDA ISMA Kemaman mengambil inisiatif menganjurkan seminar ‘New Norm: Survival Online Classes’ secara atas talian untuk berkongsi tips dan teknik pembelajaran atas talian kepada pelajar-pelajar IPT di sekitar Kemaman. Seminar atas talian yang dijalankan melalui aplikasi Zoom ini telah menarik seramai hampir 40 penyertaan yang terdiri daripada pelajar di beberapa institusi kemahiran di Kemaman.
Antara isu dan cabaran yang dilontarkan adalah kebolehcapaian internet, data internet yang mencukupi dan kestabilan platform yang digunakan. Selain itu, pelajar juga menyatakan mereka kurang bermotivasi untuk belajar di rumah berbanding ketika mereka di kampus, ini berikutan suasana pembelajaran yang tidak kondusif dan ketiadaan perisian (software) sesuai yang diperlukan untuk memudahkan pembelajaran.
Antara tips yang diberikan oleh penceramah jemputan, Mohd Saufi Md Zaini, Pensyarah Kanan, Fakulti Kejuruteraan Kimia, UiTM Dungun adalah untuk mencari menyediakan tempat yang kondusif untuk sesi pembelajaran, memakai kerusi argonomik, dan merancang aktiviti harian supaya tidak mengganggu waktu kelas.
Kata beliau lagi, pelajar haruslah duduk dan berbincang dengan ahli keluarga agar seluruh keluarga memahami jadual kelas dan aktiviti pembelajaran yang perlu pelajar ikuti. Pelajar juga perlu menyusun masa dan keutamaan dalam meneliti bahan pembelajaran.
“Yang paling penting, jagalah adab dalam menuntut ilmu, hormati guru seperti anda belajar di dalam kelas. Walaupun belajar di atas talian, semua haruslah menepati masa bagi melancarkan proses pembelajaran” ujarnya lagi.
Selari dengan pembelajaran abad ke-21 (PAK21), pembelajaran di atas talian ini menjadikan pelajar lebih kreatif dan kritis dalam berfikir. Sejajar dengan kemajuan teknologi, ilmu lebih mudah diperolehi di hujung jari, pelajar perlu membuka minda untuk meneliti bahan pembelajaran lain di atas talian, bukan menunggu untuk dibantu oleh pensyarah.
Seminar di atas talian yang berlangsung hampir DUA jam ini mendapat maklum balas yang baik daripada semua peserta. Rata-rata mengharapkan kesinambungan seminar dalam tajuk bersesuaian akan diadakan. Selain program ini, pelbagai lagi aktiviti PEMUDA ISMA Kemaman yang boleh didapati menerusi akaun Facebook dan Instagram.