Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 merupakan dasar kebudayaan negara yang adil dan jujur kepada sejarah dan identiti negara. Dasar ini adil kerana mengambil kira sejarah panjang rantau ini dan hakikat identiti sedia ada rantau ini sebelum penjajahan yang panjang.
Pada masa yang sama, dasar kebudayaan kebangsaan tidak menolak realiti hari ini iaitu kewujudan kepelbagaian kaum dalam peratusan yang signifikan selepas penjajahan.
Berdasarkan dasar ini, Kebudayaan Kebangsaan Malaysia adalah berlandaskan tiga prinsip iaitu:
1) Berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini
2) Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar diterima
3) Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan
Sesuai dengan dasar ini, Tahun Melawat Malaysia 2026 perlu memberi fokus terhadap penonjolan Kebudayaan Islam, Melayu dan Bumiputera sebagai kebudayaan rakyat asal rantau ini serta mengangkat keindahan agama Islam kepada pengunjung-pengunjung Malaysia.
Kebudayaan Melayu telah banyak berubah dengan kedatangan Islam. Adat-adat yang tidak selari dengan Islam kini ditolak orang Melayu seperti mandi safar, hasil daripada usaha dakwah. Tatkala ombak pembaratan budaya cuba menelan kebudayaan yang mulia, kebudayaan Melayu harus terus dipelihara agar ia terus selari dengan Islam.
Cabaran kebudayaan Melayu pada zaman ini adalah menolak pengaruh-pengaruh asing yang boleh merosakkan akidah dan moral orang Melayu seperti pemahaman liberalisme, pluralisme dan feminisme yang bertentangan dengan akidah Islam. Budaya-budaya asing yang merosakkan moral seperti hedonisme, pergaulan bebas dan gaya hidup yang bertentangan dengan ajaran Islam perlu ditolak.
Mengangkat kebudayaan Melayu adalah penting dalam pembinaan Malaysia, terutamanya untuk mewujudkan kestabilan jangka masa panjang.
Penerimaan Bahasa Melayu merupakan satu-satunya pemula jalan perpaduan di Malaysia. Menurut Tan Sri Professor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, perpaduan boleh datang daripada empat unsur: kaum, bahasa, agama dan sejarah.
Jika direnungkan, unsur yang mana daripada empat tersebut dikongsi pelbagai kaum di Malaysia? Kaum sudah tidak sama. agama tidak boleh dipaksa. Sejarah tidak boleh diubah. Hanya bahasa sahaja jalan untuk memulakan perpaduan.
Oleh sebab itu, pengukuhan penggunaan Bahasa Melayu perlu dipertingkat dalam semua ruang termasuk undang-undang, papan tanda, nama kawasan dan pertuturan.
Terdapat beberapa isu berkaitan Tahun Melawat Malaysia 2026 yang sedikit sebanyak mencemari permulaan kempen tersebut, antaranya video pelancaran Visit Malaysia 2026 yang tiada imej masjid, slogan “I Lite U” bagi projek pencahayaan untuk menarik pelancong di Kuala Lumpur, hidangan arak di majlis Global Travel Meet, majlis yang meraikan lelaki berpakaian wanita dan menggunakan logo Tourism Malaysia dan yang terkini rancangan untuk menyambut tahun baru di Sarawak dengan aktiviti sonsang yang dibantah gabungan beberapa NGO di Sarawak. Pihak kerajaan harus berhati-hati dan menghalang penyalahgunaan logo-logo dan dana kerajaan bagi aktiviti-aktiviti berkaitan pelancongan, serta menghalang aktiviti-aktiviti yang tidak selari dengan dasar kebudayaan negara.
Tahun Melawat Malaysia perlu mengangkat kebudayaan Islam, Melayu dan Bumiputera kepada pelancong dari seluruh di dunia, di samping kebudayaan-kebudayaan bangsa lain di Malaysia yang mencorakkan kepelbagaian. Segala sambutan yang bertentangan dengan kebudayaan asal rantau ini harus ditolak dan kebudayaan asing yang tiada asal usul di sini seperti Halloween dan Oktoberfest tidak harus dianjurkan.
Tahun Melawat Malaysia 2026 perlu dijayakan seluruh rakyat Malaysia dengan menonjolkan akhlak yang mulia serta kebudayaan yang bertamadun. Akhlak yang mulia adalah prinsip asas kehidupan Ummah yang perlu ditonjolkan kepada pengunjung dari seluruh dunia untuk memaparkan risalah Islam sebagai cara hidup yang sempurna.
Dr. Mohd Eqwan bin Mohd Roslan
Pengarah Komunikasi ISMA


