Berita penahanan 203 individu dalam serbuan di sebuah spa lelaki baru-baru ini bukan sekadar satu lagi tajuk berita sensasi. Tetapi, satu deringan loceng kecemasan yang bingit buat negara.
Hal ini kerana, dalam senarai panjang mereka yang ditahan kerana terlibat dalam pesta songsang dan maksiat ini, terdapat golongan profesional yang selama ini kita angkat sebagai tiang seri masyarakat iaitu para guru, doktor, dan penjawat awam.
Apabila doktor yang sepatutnya merawat manusia dan guru yang diamanahkan membina jiwa turut hanyut dalam lembah kehinaan, kita harus berani untuk berdiri dihadapan cermin bangsa ini dan bertanya : Di mana silapnya pendidikan kita yang begitu berjaya dalam melahirkan pakar namun kelihatan gagal melahirkan insan ?
Fakta perubatan jelas membuktikan bahawa hubungan sejenis, terutamanya melalui penetrasi dubur, adalah perbuatan berisiko tinggi dan bertentangan dengan fitrah anatomi manusia. Seperti yang dijelaskan oleh pakar, dubur yang mempunyai salur darah dengan dinding nipis adalah pintu mudah untuk jangkitan HIV—18 kali ganda lebih berisiko berbanding hubungan normal.
Namun, pelakunya bukan orang jahil. Mereka adalah doktor yang hafal anatomi tubuh, dan guru yang tahu dan mengajar beza baik dan buruk. Ini satu isyarat yang jelas, terang dan nyata bahawa kita sedang melahirkan generasi yang tinggi kebolehpasaran dalam industri, tetapi kosong kebolehsumbangan kepada sistem nilai masyarakat.
Sistem kita berjaya melahirkan pekerja yang cekap. Doktor yang berstatus pakar. Guru yang mahir dengan pelbagai kaedah mengajar, tetapi gagal melahirkan manusia yang menyumbang nilai yang menjaga maruah diri dan agama.
Maka kompas pendidikan kita perlu diubah.
Tajdid pendidikan perlu berlaku sekarang supaya kita tidak terus menghasilkan buruh-buruh industri yang menjadikan profesion dan kekayaan materi sebagai kiblat.
Pendidikan wajib menghasilkan insan yang memahami tujuan penciptaan sebagai insan yang memegang amanat khalifah yang berusaha memakmurkan bumi ini.
Naratif kejayaan dalam pendidikan perlu diubah. Pendidikan yang berteraskan kebolehsumbangan bermaksud melahirkan individu yang faham bahawa kewujudan mereka adalah untuk memberi manfaat, bukan sekadar memuaskan kehendak diri.
Seorang guru yang mempunyai kebolehsumbangan tinggi tidak akan tergamak melakukan maksiat kerana dia sedar dia adalah ‘qudwah’ (ikutan) kepada anak muridnya.
Seorang doktor yang faham kebolehsumbangan akan menjaga tubuhnya sebagai amanah ilmu yang dipikulnya bukan merosakkannya.
Malangnya doktor dan guru yang terlibat dalam kes ini telah gagal memahami diri mereka sebagai ‘Khalifah’ yang memulihkan, sebaliknya menjadi perosak kepada fitrah diri sendiri.
Masa depan negara tidak bergantung kepada berapa ramai teknokrat yang kita lahirkan, tetapi berapa ramai insan beradab yang mampu kita bentuk.
Pendidikan mesti kembali menjadi bahtera yang menyelamatkan anak bangsa daripada taufan moral ini, membina benteng kemuliaan insan yang ampuh, agar mereka mampu memimpin dunia tanpa menggadaikan prinsip dan agama.
Jika pendidikan tidak mampu melaksanakan hasrat ini, maka institusi pendidikan kita akan terus menjadi kilang yang menghasilkan kuli industri.
Hj. Mohd Tahir Hamdan
Perunding Kanan Pendidikan dan Budaya ISMA


