Tanggungjawab Ummah untuk Mempertahankan Akidah Anak-Anak Loh

ISMA mengikuti rapat perkembangan kes Loh Siew Hong yang mencabar keislaman 3 orang anaknya. Hari ini mimpi ngeri yang ditakuti telah menjadi kenyataan apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan anak-anak tersebut sebagai bukan Islam. ISMA menghormati keputusan mahkamah dengan rasa sedih dan dukacita.

Dalam hal ini kita sebagai umat Islam perlu bertanggung jawab sepenuhnya dengan keputusan yang mendukacitakan ini. Tanggungjawab untuk mempertahankan akidah merupakan maqasid syariah yang tertinggi dalam Islam. Seharusnya seluruh umat Islam termasuk pemimpin negara terutamanya semua ahli-ahli Parlimen beragama Islam berada di barisan hadapan dalam mempertahankan akidah 3 orang anak-anak ini sebagaimana kes Natrah dahulu.

Sudah sampai masanya untuk semua umat Islam bersatu hati dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan akidah agar segala jalan dan cara yang dibenarkan oleh lunas undang-undang digembleng sepenuhnya untuk memelihara akidah 3 orang anak-anak tersebut.

ISMA berpandangan bahawa segala sudut perundangan yang melibatkan pertukaran agama disemak dengan teliti oleh pakar-pakar undang-undang negara bagi memperkasakan kedudukan undang-undang syariah agar kes seperti ini tidak lagi berulang lagi di masa hadapan. Kes ini tidak boleh hanya dilihat dengan sudut pandang undang-undang dan kehakiman semata-mata, tapi ia juga mesti dilihat dengan kacamata syariah dan nilai kemasyarakatan dan agama.

Pada masa yang sama, ISMA juga menyeru semua umat Islam agar memperkukuhkan kesatuan dalam negara ini atas dasar kekuatan akidah. Inilah kekuatan yang utama dan ampuh bagi mendepani pelbagai bentuk cabaran dalam masa akan datang.

Ustaz Shuhaib Ar-rumy bin Selamat
Presiden ISMA
15 Mei 2024

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat