Tarbiyah melalui Teknik Larian MAF

Sejak awal tahun 2021 secara tiba-tiba menjadi popular tentang teknik larian MAF dalam kalangan pelari di media sosial khasnya di Malaysia. Teknik MAF adalah falsafah yang dicipta oleh Dr Phil Maffetone dalam bukunya, The Big Book of Endurance Training and Racing.

Nama penuhnya, Maximum Aerobic Function dan kebetulan nama depan pengasasnya juga MAF. Beliau adalah jurulatih kepada Mark Allen yang merupakan juara dunia enam kali dalam World Ironman Champion. Teknik MAF ini telah dibangunkan oleh beliau berdasarkan kajian saintifik selama 40 tahun untuk mencapai potensi paling optimum bagi setiap individu.

Apa yang menyebabkan teknik larian ini menjadi popular adalah kerana ianya sesuai untuk semua peringkat pelari samada pelari baru, pelari lama, mereka yang berdepan isu kecederaan, mereka yang hendak kurangkan risiko kecederaan dan juga untuk mereka yang ingin meningkatkan prestasi masa larian.

Hasilnya, telah ramai pelari yang mengaplikasikan teknik ini akhirnya berjaya mencapai sasaran masing-masing. Ramai juga yang berkongsi kisah kejayaan mereka menurunkan berat badan daripada peringkat obesiti sehingga mencapai berat badan yang ideal seterusnya hidup secara lebih sihat.

Secara teorinya, ia adalah untuk membina asas aerobik supaya badan boleh lari laju dengan kadar nadi yang rendah. Ia melambatkan proses badan bertukar ke sistem anaerobik, jadi seseorang boleh lari laju dan lama sebelum keletihan. Larian 800 meter ke atas biasanya menggunakan kedua-dua sistem tenaga iaitu aerobik dan anaerobik. Lebih lama larian tersebut, lebih banyak kita bergantung kepada sistem aerobik.

Kelebihan MAF dan bagaimana melakukannya?

Teknik MAF boleh menjadikan jantung lebih kuat. Mitochondria pula meningkat yang bermaksud lebih banyak penghasilan tenaga dilakukan. Ia juga dapat membakar lemak secara lebih efisien kerana lemak dijadikan sebagai punca tenaga. Kelebihan yang penting juga adalah teknik ini dapat mengurangkan tekanan dalam diri (stress).

Untuk mendapatkan kadar degupan jantung MAF, ambil angka 180 dan tolak dengan umur anda. Tetapi ia juga berhantung kepada tahap kesihatan semasa anda dan angkanya boleh diubah sedikit. Sebagai contoh jika anda berumur 38 tahun, maka angka MAF adalah 142. Jika anda seorang pelari baru itulah kadar degupan jantung anda untuk melakukan larian namun jika anda seorang pelari aktif melebihi dua tahun, maka anda boleh tambah angka tersebut lebih sedikit kepada lima menjadi 147. Walau bagaimnapaun, formula ini tidak boleh digunakan untuk mereka di bawah usia 16 tahun.

Nilai tarbiyah.

Teknik larian MAF ini memberikan gambaran bahawa tiada satu jalan singkat untuk menuai hasil. Bagi seorang Muslim yang mengimani konsep tarbiah, ini bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk dicapai. Dalam proses tarbiah, kaedahnya juga adalah sama dimana ianya perlu melalui suatu proses dalam tempoh masa yang tertentu. Perubahan yang terlalu drastik kebiasaannya adalah tidak kekal untuk tempoh masa yang lama kerana belum mencapai tempoh matangnya.

Berdasarkan pengalaman peribadi penulis yang telah melibatkan diri dalam sukan larian sejak enam tahun yang lepas, antara faktor utama untuk konsisten dalam sukan ini adalah dengan melakukannya secara dalam kumpulan. Secara fitrahnya, manusia perlukan sokongan dari orang sekeliling untuk melakukan sesuatu perkara yang baharu. Begitulah juga dalam proses kita untuk mengislahkan diri sendiri. Ia perlu dilakukan secara berjemaah dalam satu organisasi jemaah yang tersusun dan mempunyai perancangan jangka masa panjang yang jelas.

Pengalaman terkini penulis pada bulan Febuari 2021, hasil daripada membuat satu kumpulan larian dalam media sosial melibatkan rakan sekerja, maka berjaya membuat jarak larian kumulatif paling jauh sejak enam tahun lepas iaitu sebanyak 137km dalam masa satu bulan. Ini membuktikan bahawa manusia perlukan persaingan yang sihat untuk membangunkan potensi diri mereka.

Dalam teknik MAF, seseorang pelari perlu mengetahui zon kadar degupan jantungnya supaya larian yang dilakukan lebih berkesan untuk mencapai sasaran. Begitulah juga dalam aspek untuk mentarbiah diri kita. Kita perlukan bahan atau modul yang betul supaya selari dengan sasaran tarbiah diri berdasarkan neraca syarak.

Teknik ini juga telah dibangunkan dengan kajian saintifik selama 40 tahun sehinggalah berjaya menuai hasilnya pada hari ini. Ini menunjukkan bahawa hasil yang terbaik dalam pembangunan potensi manusia memerlukan proses yang lama.

Kita hendaklah percaya kepada proses tersebut tanpa cuba untuk mengambil jalan yang singkat. Setelah jatuhnya sIstem Khilafah Islam pada 3 Mac 1924 yang telah menjangkau 97 tahun yang lampau, telah banyak manhaj perubahan perjuangan yang dibangunkan oleh para alim ulamak dan ilmuan Islam untuk mengembalikan semula kedaulatan Islam. Proses itu terus berlaku dan kitalah yang seharusnya meneruskan perjungan tersebut ke arah untuk kembali Menebus Kedaulatan, Menjulang Peradaban.

Ir Mohd Nizam bin Abd Rahman

Ahli Ikatan Jurutera Muslim Malaysia (i-Jurutera)

Pelari i-Fitness

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat