TAUFAN AL-AQSA: PERUBAHAN KEDUDUKAN KUASA PALESTIN-ISRAEL

1. Saya mengucapkan tahniah atas kejayaan mujahidin Palestin khususnya dari Briged al-Qassam yang berjaya melancarkan serangan mengejut dan membingungkan pihak Israel dan sekutu-sekutu mereka.

2. Saya mentafsirkan serangan mengejut darat, udara dan laut yang dilancarkan pada 7 Oktober itu telah membawa kepada perubahan besar di dalam halatuju pertembungan Palestin-Israel. Mujahidin Palestin sedang mengubah kedudukan dari posisi bertahan selama puluhan tahun kepada posisi menyerang dan ini adalah tanda hampirnya pembukaan al-Quds dan pembebasan Palestin sepenuhnya.

3. Saya juga memerhati dengan teliti tindakan pemimpin-pemimpin Arab dan dunia Islam yang lain. Pengiktirafan terhadap kewujudan Israel yang telah dilakukan oleh sebahagian pemimpin Arab adalah langkah salah yang perlu kepada pembetulan segera. Pastinya saya menunggu siapakah di antara mereka yang akan jujur membetulkan pendirian mereka di dalam isu pertembungan Palestin-Israel ini. Keputusan mereka ini akan mempengaruhi keberhasilan pembebasan Palestin sepenuhnya kelak.

4. Mujahidin Palestin telah menjaga air muka dan maruah umat Islam untuk satu tempoh yang panjang, dari bermulanya peristiwa Nakbah pada 1948 sehingga hari ini. Sesungguhnya umat Islam keseluruhannya terhutang budi kepada mujahidin Palestin atas pengorbanan mereka itu.

5. Syuhada’ yang terkorban akibat dari tindakbalas Israel adalah suatu yang dijangka dan pengorbanan itu tidak akan sia-sia. Semoga semua ahli keluarga mereka bersabar atas kehilangan tersebut. Sebaik-baik ganjaran adalah dari Allah s.w.t.

6. Satu gerakerja strategik yang bersepadu perlu dilakukan bagi menyambut fasa baru di dalam pertembungan Palestin-Israel ini. Menjadi tuntutan besar kini untuk kita bersama berkempen, memberikan sumbangan kewangan dan sebagainya melalui badan-badan NGO berkaitan isu Palestin di Malaysia seperti Aman Palestin dan lain-lain badan.

Wallahu a’lam.

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Perunding Kanan Hubungan Antarabangsa
Ikatan Muslimin Malaysia
9 Oktober 2023

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat