Tiga hadiah dari Allah di bulan ramadan

InsyaAllah, hanya beberapa jam lagi kita akan melangkah masuk ke bulan Ramadhan yang mulia. Bulan yang ditunggu-tunggu dan dinantikan oleh setiap orang yang beriman kerana keberkatan dan ganjaran Allah yang cukup besar di bulan ini. Ganjaran dan keberkatan ini dijanjikan sepanjang bulan, baik pada siang atau malamnya, dari permulaan hari dengan sahurnya hinggalah kepada penghujung hari dengan tarawih serta tilawahnya.

Saudaraku sekalian,

Sesungguhnya, daripada sebanyak amalan ini, apakah tiga hadiah terbaik dari Allah buat hamba-hambaNya yang taat dan beriman?

Setiap orang mempunyai tiga perkara yang boleh mereka bawakan.

Pada hemat saya, yang pertama dan senantiasa di atas ialah al-Quran itu sendiri. Inilah hadiah paling berharga dari Allah untuk umat ini, kerana Allah sendiri berfirman bahawa di bulan inilah Al-Quran diturunkan:

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, (Ia) menjadi petunjuk bagi sekalian manusia” Al- Baqarah 185
Justeru, Ramadhan tidak akan sempurna tanpa kita memperbaiki hubungan kita dengan Al-Quran.

Seseorang hamba itu tidak mungkin boleh mencintai Allah SWT andainya dia belum mencintai Al-Quran. Abdullah Bin Mas’ud ra berkata “Janganlah seorang di antara kamu bertanya tentang kecintaannya kepada Allah, akan tetapi hendaklah dia terlebih dahulu bertanya sejauh mana kecintaannya kepada Al-Quran. Ini kerana sebanyak mana kadar kecintaan kamu kepada Al-Quran, maka sebanyak itu pulalah kecintaan kamu kepada Allah SWT.”

Semoga Ramadhan yang akan kita tempuhi ini bukan sekadar kita bertadarrus kosong namun kita pertingkatkan ikatan kita dengan Al-Quran dengan usaha membaca tafsirnya, mentadabbur ayat-ayatnya dan mula menghafal ayat-ayatnya.

Hadiah kedua dari Allah pada bulan Ramadhan adalah malam yang lebih baik dari seribu bulan, itulah lailatul qadar . Allah SWT menurunkan surah khusus al-Qadr bagi membesarkan kemuliaan malam tersebut, menunjukkan kepentingan dan peri pentingnya untuk setiap Muslim mencarinya.

Mengejar malam Lailatul qadr bukan hanya pada 10 malam terakhir, namun ia bermula pada malam pertama. Pada malam ini lagi, kita mesti berniat untuk bangun beribadah menghidupkan 10 malam terakhir. Amalan kita mesti dipertingkatkan dan diperbaiki dari hari ke hari dan semoga nanti Allah mengurnikan kita dengan kemuliaan bertemu malam Al-Qadr.

Dan hadiah ketiga pada hemat saya adalah puasa pada bulan Ramadhan itu sendiri. Ibadah puasa boleh kita lakukan sepanjang tahun namun tidak akan sama ganjarannya dengan satu hari pada bulan Ramadhan.

Nabi SAW bersabda, “Barangsiapa berbuka walau satu hari di bulan Ramadhan tanpa sebab keringanan yang dibenarkan Allah, kecuaian meninggalkan puasa tersebut tidak akan dapat ditebus sekalipun dengan puasa sepanjang masa, jika dia mampu melaksanakannya”. Hadis riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan Termizi.

Hadis ini memberikan kita ingatan dengan dua keadaan.

Pertama, jangan sekali-kali ditinggalkan walau sehari puasa di bulan Ramadhan kerana tidak ada puasa yang dapat menggantikannya. Mungkin ada diantara kita dahulu pernah berada dalam kecuaian ini, ketahuilah Allah itu maha penerima taubat, namun nilai yang anda pernah kehilangan itu tidak dapat diganti lagi.

Keduanya, hadis ini memberikan maksud betapa tingginya nilai puasa Ramadhan serta betapa berharganya nilai masa yang kita lalui di bulan ini nanti. Puasa yang tidak dapat digantikan oleh puasa di masa yang lain, sekalipun kita mampu berpuasa sepanjang waktu!

Justeru, setiap saat dan setiap minit di bulan Ramadhan adalah waktu yang amat berharga yang mesti digunakan untuk beriabadah kepada Allah SWT. Janganlah ia disia-siakan dengan hanya menonton siri Korea, bermain game, membuang masa, terlebih tidur atau menonton movie dari satu cerita ke satu.

Semoga tiga hadiah ini sudah cukup untuk kita membulatkan tekad dan berusaha sebaik-baiknya untuk menjadikan Ramadhan kali ini Ramadhan terbaik buat kita secara peribadi. Dalam suasana wabak Covid-19 yang masih belum reda, semoga Ramadhan ini juga menjadi Ramadhan terbaik buat umat seluruhnya.

Semoga kita keluar dari tarbiah sebulan Ramadhan menjadi insan yang lain, insan yang lebih hebat dan lebih tinggi jatidirinya, ketaqwaannya dan kecintaannya kepada Allah SWT.

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. Al-Baqarah 183.

 

Ustaz Hj Omar Kassim

AJK Tarbiah Isma

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat