3 noktah penting dalam perlantikan Yahya Sinwar sebagai Ketua HAMAS bagi menggantikan asy-Syahid Ismail Haniyeh bagi umat Islam di Malaysia.
Kepimpinan yang mewakili ummah.
Ummah memerlukan jiwa-jiwa yang amanah, tegas dan ikhlas untuk menampilkan dirinya sebagai pemimpin dalam memandu hala tuju dan perjuangan Islam. Setiap seorang daripada kita adalah pemimpin dalam lingkungan pengaruhnya; samada dalam keluarga, kejiranan dan masyarakat.
Islam adalah agama yang memimpin, jadi umat Islam mesti bersedia memikul tanggungjawab kepimpinan ini dan lengkapkan diri dengan kemahiran dan ilmu yang diperlukan. Sikap untuk tidak mahu keluar dari zon selesa akan mengakibatkan segala kerosakan dan kemungkaran yang berlaku akan berterusan dan tidak dibendung. Bangkitkan dirimu sebagai pemimpin untuk membangunkan ummah dalam komuniti dan masyarakat. Sudah berlalu waktu rehat dan tidur.
Semangat perjuangan yang berterusan.
Ummah mesti terus dihidupkan dengan ruh perjuangan bagi memenangkan agenda Islam agar ianya menjadi kuat dan kukuh dalam pegangan hidup masyarakat. Kesungguhan yang ditunjukkan oleh rakyat Palestin dan juga pimpinan gerakan Islam di sana dalam perjuangan pembebasan bumi Palestin seharusnya menjentik hati sanubari kita untuk turut bersama dalam usaha yang besar ini.
Ummah yang dibiarkan lalai dan leka dengan hiburan dan kesenangan dunia yang berlebihan akan menjadi hamba kepada nafsunya sendiri. Setiap tamadun dan peradaban sepanjang sejarah mempunyai perjuangan yang tersendiri. Hanya mereka yang berjuang akan tercatat sebagai bangsa yang menang.
Kesatuan yang membangunkan segala potensi ummah.
Antara resepi utama dalam kejayaan rakyat Palestin adalah kesepakatan antara seluruh rakyat dan gerakan-gerakan pejuang Palestin bagi menghadapi segala bentuk kezaliman musuh bagi membebaskan negara mereka. Rakyat Palestin berdiri kukuh bersama kepimpinan mereka dalam mencapai kemenangan meskipun menghadapi kesukaran dan ancaman. Inilah juga apa yang mesti umat Islam di Malaysia perlu lakukan untuk mencapai titik kesepakatan dalam perjuangan agenda Islam dan Melayu di negara ini.
Kesatuan ummah akan mendatangkan kesungguhan untuk serius dalam usaha membangunkan negara agar menjadi negara yang merdeka menentukan nasibnya dan tidak dipengaruhi oleh kuasa-kuasa asing. Selagi mana umat Islam terpecah dengan faktor-faktor berdasarkan sentimen politik, ekonomi dan sosial, selagi itulah kita akan terus dalam keadaan lemah, pengecut, dan berputar dalam perangkap permasalahan yang tidak berkesudahan.
Ustaz Shuhaib ar-Rumy Selamat
Presiden ISMA