Tindakan Wanita Muslim Buat Lawak, Mempersendakan Islam

Tindakan seorang wanita yang menanggalkan tudung dan pakaian di sebuah kelab baru-baru ini adalah satu tindakan mempersendakan Islam. Malah pengakuannya yang telah menghafal 15 juzuk al-Quran juga amat amat mengejutkan.

Dia juga telah menjatuhkan maruahnya sebagai seorang wanita muslimah apabila telah mendedahkan auratnya di hadapan orang ramai tanpa segan silu.

Keadaan ini menunjukkan pengaruh hak kebebasan manusia yang bertunjangkan humanisme semakin meresap masuk ke dalam masyarakat Islam. Lebih membimbangkan apabila didapati latar belakang keluarga wanita tersebut menitikberatkan pendidikan agama. Keluarga yang menitikberatkan penjagaan aurat dengan penekanan memakai tudung dan stokin sedari kecil. Malah dihantar pula ke sekolah agama dan menghafal al Quran.

Inilah cabaran yang perlu dihadapi oleh kita masyarakat Islam kini. Cabaran pemikiran yang menyerang secara halus. Pemikiran liberal dan barat yang boleh membuatkan seseorang rasa tidak bersalah dalam melakukan maksiat atas nama hak kebebasan. Pemikiran yang membuatkan seseorang rasa agama tiada nilai. Malah rasa bangga pula bila mempersenda dan mempermainkan Islam dan langsung tidak rasa bersalah atas tindakan yang dilakukan.

Inilah yang ingin dicapai oleh golongan liberal. Menjauhkan umat Islam dari ikatan agama yang sebenar. Meleraikan satu persatu ikatan iman dan Islam dalam diri seseorang hingga akhirnya keluar dari Islam.

Untuk itu, dalam mendalami Islam, umat Islam juga perlu kenal siapakah musuh dan apakah perancangan mereka agar kita kenal dan berhati-hati dalam setiap langkah kita.

Dr. Suriani Sudi
Ketua Wanita ISMA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat