Tinjauan dapati MyNEWS Bangi Avenue ambil langkah henti penjualan arak

BANGI, 24 Mei – Penjualan arak di kedai serbaneka MyNEWS cawangan Bangi Avenue berjaya dihentikan atas usaha kempen yang digerakkan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dengan kerjasama penduduk setempat.

Yang Dipertua ISMA Bangi, Ustaz Bilal Jailani berkata, sebulan selepas pihaknya mengedarkan surat bantahan penjualan minuman keras di beberapa kedai serbaneka di sekitar Kajang, ia berjaya mendapat respons yang baik dari MyNEWS Bangi Avenue.

Katanya, surat bantahan itu dihantar kepada empat premis iaitu 99 Speedmart Vista Bangi, KK Mart Hentian Kajang, Potboy Hentian Kajang dan juga MyNEWS Bangi Avenue.

Dalam pada itu, berdasarkan tinjauan penduduk setempat, bahagian peti minuman sejuk di premis itu yang lazimnya menempatkan arak di sebelah kanannya sudah tidak terisi dengan minuman keras lagi.

“Saya tinggal berhampiran Bangi Avenue. Sebelum ini memang ada perasan tin arak di bahagian kanan. Saya juga maklum pihak ISMA Bangi pernah ke sana sebelum ini.

“Dan semalam saya berkunjung sekali lagi ke sana dan saya lihat tiada lagi minuman arak di sudut yang sama dan juga di peti-peti lain. Setakat pemerhatian saya begitu,” kata penduduk Bangi Avenue, Muhammad Aminuddin kepada Ismaweb.net, hari ini.

Muhammad Aminuddin berharap, agar usaha ini dapat diperluaskan serta dilaksanakan oleh komuniti taman perumahan yang lain.

“Mudah-mudahan kedai serbaneka yang lain terutama sekali yang berdekatan dengan taman perumahan majoriti muslim mengambil berat isu ini.

“Saya percaya banyak lagi kedai serbaneka yang masih menjual arak yang dikendalikan oleh jurujual muslim. Perlu digiatkan lagi usaha ini dengan kerjasama yang lebih meluas termasuk wakil penduduk, masjid dan seumpamanya,” katanya lagi.-Ismaweb.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat