Oleh: Nura Ruhaya Binti Abdul Halim
KEMAMAN, 30 Dis – Setelah satu tahun negara dilanda pandemik COVID-19, sedar tidak sedar, hampir satu tahun juga pelajar didedahkan dengan sesi pengajaran dan pembelajaran atas talian. Sesi belajar atas talian sudah semestinya berbeza dengan sesi belajar secara fizikal. Terdapat kekangan kepada pelajar dan juga guru semasa sesi pengajaran dan pembelajaran atas talian berlangsung seperti masalah kebolehcapaian internet, tiada komunikasi bersemuka, dibebankan dengan tugasan setiap subjek tanpa sesi pengajaran langsung atau fizikal sedikit sebanyak melenturkan semangat belajar para pelajar di semua peringkat pengajian.
Memahami keluhan para pelajar dan kegusaran para guru, Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) cawangan Kemaman dengan kerjasama PEMUDA ISMA Kemaman dan Unit Bimbingan dan Kaunseling, SMK Banggol, Kemaman mengambil inisiatif menganjurkan forum atas talian yang bertajuk “Tips Study Sempoi”. Pengarah program, saudara Rudianto bin Edi berharap forum atas talian ini mampu membantu meningkatkan semangat belajar dan memastikan para pelajar terutama di peringkat sekolah menengah cemerlang akademik dan sahsiah mereka.
Forum atas talian yang dianjurkan melalui aplikasi Zoom ini telah mengumpul lebih 60 penyertaan dari dalam dan luar Kemaman. Forum yang berlangsung selama 2 jam ini terasa cepat berlalu dengan curahan input dan tips berguna daripada panel jemputan khas, Cikgu Asmadi Samad, pakar motivasi yang juga Timbalan Ketua PEMUDA ISMA. Para pelajar perlu memahami arahan dan membuat refleksi cara belajar yang paling sesuai dengan diri adalah antara tips yang dikongsikan oleh Cikgu Asmadi.
Selain itu, Cikgu Asmadi juga mengingatkan para pelajar tentang 5 sikap yang menghancurkan diri iaitu selalu membandingkan diri sehingga kurangnya rasa bersyukur, terlalu sensitif, sering merungut, tidak mahu berubah dan berada dalam lingkungan yang salah. Peringatan ini bukan hanya berguna kepada pelajar malah ia perlu ada dalam diri setiap manusia.
“Alhamdulillah, saya berasa bersyukur atas nikmat yang Allah berikan dan dapat menyertai forum pada hari ini dan saya berasa berpuas hati menyertai forum ini. Terima kasih kepada pihak KRIM KEMAMAN atas anjuran program ini” kata saudara Muhammad Aimaduddin Amir, pelajar SMK Bukit Kuang, Kemaman.
“Terima kasih kepada pihak KRIM Kemaman kerana adakan program Tips Study Sempoi ini. Alhamdulillah, banyak input yang saya dapat dan membuka mata saya. Walaupun 2 jam sahaja sesi ini, banyak info yg saya dapat. InshaAllah segala ilmu yang saya dapat pada hari ini akan saya terapkan dalam kehidupan seharian”, demikian pula maklumbalas daripada saudari Nur Izzwaie Nabiha dari MRSM Arau.
Selain program ini, pelbagai lagi aktiviti KRIM yang boleh disertai oleh para remaja seperti Usrah Mega, Usrah Kita dan Sembang Santai bersama tokoh KRIM dari seluruh negara. Maklumat berkaitan program KRIM boleh didapati menerusi Facebook dan Instagram Kelab Remaja ISMA.