Ramadan merupakan bulan yang paling dinantikan oleh umat Muslim di seluruh dunia karena kemuliaan dan keberkatannya. Selain menjadi momentum untuk meningkatkan ibadah, Ramadan juga menghadirkan keberagaman budaya yang tercermin melalui berbagai tradisi unik di setiap negara. Perpaduan antara nilai agama dan kearifan lokal menciptakan warna tersendiri dalam menyambut dan menjalani bulan suci ini.
Namun, tradisi unik di Mesir juga mempunyai keistimewaan yang tersendiri dalam menghidupkan bulan Ramadan dengan lebih bermakna dan penuh penghayatan. Dua perkara yang menjadikan Ramadan di Mesir itu unik adalah masyarakat Arab Mesir sendiri dan pembentukan suasana yang hidup serta mendorong semua lapisan masyarakat untuk memuliakan Ramadan sebagai bulan yang paling istimewa berbanding bulan-bulan lain.
Keunikan pertama adalah pada masyarakat Arab Mesir sendiri. Seminggu sebelum Ramadan bakal menjelma, golongan dewasa kebiasaannya akan menggalakkan golongan muda untuk menghiasi jalan dan rumah mereka dengan gantungan lampu dan perhiasan yang lain. Manakala, setiap masjid akan membuat pertukaran permaidani yang baharu bagi mewarnai perasaan aman dan bahagia bila seseorang hadir ke dalam masjid bagi menghidupkan ibadah terutamanya di malam hari.
Begitu juga suasana di siang hari, mereka berpuasa dan sentiasa melazimi waktu lapang dengan membaca al-Quran. Rutin ini sering menjadi kelaziman ketika menuju ke tempat kerja atau tempat pengajian di dalam bas, van dan kereta api yang menjadi tempat kebiasaan mereka membaca al-quran.
Ketika hampir waktu berbuka puasa, golongan dermawan mesir akan membuka meja juadah percuma buat masyarakat yang dipanggil sebagai “Maidah Rahman”. Juadah ini dibuka kepada semua orang terutamanya pelajar luar negara dan golongan miskin tempatan. Kebiasaannya, pelajar akan duduk bersama dengan masyarakat arab mesir. Suasana inilah yang menggambarkan hidupnya komuniti Arab Mesir ketika bulan Ramadan tanpa mengira latar belakang seseorang tetapi atas semangat satu akidah.
Keunikan yang kedua iaitu pembentukan suasana yang dapat menghidupkan jiwa orang islam ketika berada di malam Ramadan. Di kota kaherah saja yang terkenal dengan seribu satu menara membuatkan kota itu menjadi tersergam indah dengan cahaya lampu di setiap menara masjid. Sama ada masjid itu besar atau kecil, kesemuanya memahami istimewanya bulan Ramadan ini.
Ustaz Amirul Hadif bin Ab Rahman Thobroni
Jawatankuasa Cawangan Biro Pengkaderan ISMA Mesir


