Tragedi yang menimpa adik Zara Qairina, seorang pelajar tingkatan satu yang dikatakan mati akibat buli, bukan sekadar kisah sedih. Ia adalah cermin retak masyarakat kita hari ini, sebagai satu simptom betapa sakitnya masyarakat pada hari ini.
Buli bukan perkara baru, tetapi menjadi semakin kejam sehingga meragut nyawa. Kita tidak lagi boleh menafikan, kes buli adalah gejala sosial yang membarah dan ianya adalah luka kolektif sebuah masyarakat yang semakin hilang arah. Soalan besar yang perlu kita jawab hari ini ialah: Kenapa buli masih berlaku, malah makin ganas dan menakutkan? Dan yang lebih penting, apakah yang sedang kita abaikan sebagai masyarakat?
Kes Zara Qairina adalah manifestasi dari pelbagai kegagalan komuniti dalam masyarakat. Gagalnya rumah membina anak-anak yang seimbang emosinya. Gagalnya sistem pendidikan membentuk pelajar berakhlak dan gagalnya kita sebagai enititi masyarakat untuk peduli dan bertindak.
Akar masalah yang perlu kita sedar
1. Lemahnya Didikan Agama dan Akhlak
Agama adalah asas kehidupan. Ia bukan sekadar ritual ibadah, tetapi panduan menyeluruh kepada akhlak, hubungan sosial, pengurusan emosi, dan jati diri. Namun hari ini, ramai remaja membesar dalam suasana yang menjauhkan mereka daripada asas ini. Mereka tahu nama Allah, tapi tidak kenal siapa Allah. Mereka hafal doa, tapi tidak faham maknanya. Mereka ke masjid atau surau, tapi tidak merasa kehadiran Allah dalam hati. Akibatnya, mereka kehilangan kompas moral, dan apa yang tinggal hanyalah jasad remaja yang mudah goyah, terpengaruh dan memberontak kerana jati diri yang sepatutnya terbina atas asas agama, gagal dibentuk.
Pendidikan agama di sekolah sering dikecilkan kepada hafalan dan peperiksaan semata-mata. Akhlak Nabi SAW tidak diajar secara praktikal dalam kehidupan harian. Ramai remaja lulus Pendidikan Islam atas kertas, tetapi gagal dalam akhlak dan adab.
Remaja lebih mengenali selebriti, pempengaruh dan ‘content creator’ daripada mengenali Rasulullah SAW, para sahabat, atau tokoh ulama. Contoh tauladan dalam rumah dan masyarakat sering bercanggah dengan nilai agama menyebabkan remaja keliru.
Ramai remaja tidak pernah ditanya, “Kenapa kamu hidup?” atau “Apa matlamat hidupmu?”. Tanpa kefahaman ini, mereka hidup untuk keseronokan, populariti, dan penerimaan sosial. Mereka tidak diajar bahawa hidup adalah untuk beribadah dan menjadi hamba serta khalifah Allah di muka bumi.
2. Rumah Gagal menjadi madrasah pertama buat anak-anak
Ramai anak-anak membesar dalam rumah yang sunyi tanpa perhatian atau didikan kasih sayang. Ada yang hanya diberi makan dan pakai, tetapi tidak pernah disentuh jiwanya.
Rumah bukan sekadar tempat tinggal, ia adalah madrasah pertama, medan awal untuk membina insan. Rasulullah ﷺ bersabda yang bermaksud:
“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini dengan jelas meletakkan tanggungjawab utama pendidikan awal pada ibu bapa, bukan pada sekolah atau institusi luar. Namun realitinya hari ini, ramai remaja membesar dalam rumah yang gagal menjalankan peranan ini. Mereka dibesarkan tanpa bimbingan nilai, tanpa disiplin yang berteraskan agama, dan tanpa contoh hidup yang boleh diikuti.
Akhirnya mereka melampiaskan tekanan emosi kepada orang lain dan buli jadi satu bentuk ‘pelepasan’.
Rumah pada hari ini, tidak dibina atas nilai takwa, tetapi lebih menumpukan kepada keperluan material semata-mata. Tiada budaya solat berjemaah, membaca al-Qur’an bersama, atau berbicara tentang Allah dan akhirat. Dan anak-anak tidak diajar tentang “mengapa perlu taat pada Allah”, hanya diberi arahan kosong tanpa ruh yang hidup di dalam jiwa-jiwa.
Kesibukan kerja menyebabkan ibu bapa menyerahkan pendidikan sepenuhnya kepada sekolah atau pengasuh. Dalam banyak kes, ibu bapa hadir secara fizikal, tetapi tiada kehadiran emosi dan spiritual. Anak-anak kekosongan kasih sayang, lalu mencari perhatian dan penerimaan di luar rumah dan kadangkala diperolehi daripada rakan-rakan yang toksik yang merosakkan nilai pada anak-anak ini.
Anak-anak juga dibesarkan dalam suasana yang terlalu bebas, tanpa sempadan syarak atau adab. Tidak ditegur bila melawan, tidak dihukum bila menipu, tidak dipuji bila berbuat baik. Mereka tidak diajar erti tanggungjawab, kesalahan dan pembaikan diri.
3. Pengaruh Media Sosial Tanpa Tapisan
Media sosial pada asasnya hanyalah alat untuk memudahkan urusan manusia, namun apabila digunakan tanpa kawalan, ia boleh menjadi racun senyap yang melumpuhkan pembinaan jati diri. Hari ini, anak-anak remaja bukan sahaja membesar bersama teknologi, malah mereka dibesarkan oleh teknologi. TikTok, Instagram, YouTube, Snapchat dan seumpamanya telah mengambil alih peranan ibu bapa, guru, bahkan agama, sebagai pemberi makna hidup. Media sosial menjadi guru utama, mengajar hiburan, makian, budaya kebaratan dan normalisasi kerosakan akhlak. Tiada langsung bimbingan atau tapisan terhadap apa yang anak-anak tonton atau serap. Akibatnya, nilai, identiti dan keperibadian remaja semakin terbina atas asas yang rapuh dan palsu, yang akhirnya merosakkan hala tuju mereka sebagai khalifah Allah di bumi.
Remaja mula menilai harga diri mereka melalui reaksi orang lain, bukan berdasarkan iman, akhlak dan ilmu. Bila tiada pujian, mereka murung. Bila dikritik, mereka tertekan. Bila viral, mereka rasa diri bernilai, walaupun dengan kandungan yang merosakkan. Mereka kehilangan nilai sebenar diri, lalu membentuk watak yang bukan diri sendiri semata-mata untuk kelihatan “diperlukan”.
Media sosial penuh dengan pempengaruh yang menjual gaya hidup bebas, pergaulan bebas, pendedahan aurat dan kelakuan biadab sebagai sesuatu yang “trendy”. Apabila ditonton berulang kali, anak-anak mula normalisasi dosa dan hilang sensitiviti terhadap perkara yang ditegah agama. Mereka sanggup meniru semata-mata untuk “fit in”, walaupun ia menjauhkan mereka daripada jati diri Islam.
Remaja sering membandingkan diri dengan kehidupan orang lain yang ditayangkan secara indah di media sosial. Mereka jadi keliru: “Kenapa hidup aku tak seindah orang lain?”, walaupun apa yang mereka tonton hanya sekadar lakonan, suntingan dan ilusi digital. Ini secara tidak langsung mewujudkan kekosongan identiti, rasa tidak cukup, dan akhirnya kehilangan arah hidup.
Media sosial pada hari ini juga telah membuka ruang luas kepada pergaulan bebas maya, chatting peribadi, berkongsi gambar yang tidak sepatutnya, serta permainan emosi tanpa sempadan. Ini menyebabkan remaja mudah terjerumus dalam dosa syahwat, yang merosakkan maruah dan menghakis kehormatan diri. Batas halal haram mula kabur kerana tiada siapa yang memantau di hujung skrin. Kandungan media sosial yang bersifat singkat, pantas dan hiburan kosong menjadikan remaja sukar untuk fokus, menganalisis dan berfikir panjang. Mereka lebih rela tonton video 10 saat daripada membaca al-Quran 5 minit. Jiwa menjadi kering dari nilai spiritual, kerana tidak disirami dengan ilmu yang benar dan zikir yang menghidupkan hati.
4. Kegagalan sekolah menjadi penyokong utama dalam membangun jati diri remaja
Sekolah sepatutnya menjadi tempat membina ilmu, akhlak dan sahsiah, namun realiti hari ini menunjukkan sekolah gagal menangani krisis nilai dalam kalangan remaja. Buli, ponteng, hubungan bebas, tekanan emosi dan hilang jati diri semakin menjadi norma, bukan lagi kes terpencil. Sistem pendidikan hari ini terlalu menekankan pencapaian peperiksaan, ‘ranking’, dan keputusan akademik. Nilai akhlak, keperibadian, kemahiran hidup dan pembangunan rohani sering di ketepikan atau dianggap sampingan. Guru kaunseling yang ada dibebankan dengan tugas pentadbiran, bukannya fokus kepada membimbing murid. Kes buli, kemurungan, tekanan sosial dan isu identiti diri tidak diberi perhatian mendalam kerana tidak cukup masa, tenaga, dan sistem sokongan. Tiada pendekatan khusus untuk mengenal pasti pelajar berisiko secara awal (early intervention).
Sekolah pada hari ini, apabila pelajar bermasalah, mereka dihukum tanpa diberi peluang memahami dan memperbaiki diri. Dikenakan rotan, amaran atau gantung sekolah, tanpa sesi bimbingan spiritual, terapi emosi atau rundingan dengan keluarga. Hukuman sebegini akan melahirkan pelajar takut, bukan melahirkan pelajar yang sedar akan tanggungjawab dan peranan mereka. Sekolah tidak menjadi model kepemimpinan rohani dan sahsiah, tetapi sekadar pentadbiran akademik.
Peranan guru dalam sistem pendidikan hari ini, dikecilkan kepada “penyampai silibus” dan “penanda kertas peperiksaan” sahaja. Guru kini dibebani dengan kerja pentadbiran, dokumentasi, pengisian data eOperasi, eRPH, pelaporan dan pelbagai sistem yang menyempitkan ruang mereka untuk mendidik dengan hati.
Masa yang ada sepatutnya digunakan untuk mengenal pelajar, membimbing jiwa mereka, menjadi pendengar dan penasihat, terpaksa dikorbankan untuk kerja-kerja teknikal dan pentadbiran. Sedangkan dalam Islam, guru adalah pembina insan, pendidik jiwa, penyuluh kegelapan dan penyambung risalah kenabian. Namun realitinya, agenda pembangunan manusia dari aspek akhlak, iman dan jati diri tidak lagi menjadi keutamaan dalam sistem pendidikan moden. Guru terpaksa mengejar pencapaian peperiksaan, data pencapaian pelajar, dan KPI sekolah. Pelajar dilihat sebagai ‘produk akademik’, bukan insan yang perlu dibina fikrah, adab dan akhlaknya. Akhirnya, nilai kemanusiaan diketepikan, demi angka dan statistik.
5. Sikap masyarakat yang tidak ambil peduli
Dalam menangani isu-isu seperti kes buli, keruntuhan moral, dan kegagalan pendidikan akhlak, masyarakat memainkan peranan yang amat besar. Namun malangnya, sikap tidak peduli (apatetik) yang semakin menebal dalam kalangan masyarakat menjadi penghalang utama kepada penyelesaian jangka panjang.
Pada hari ini, jiran tahu anak sebelah selalu ponteng, dibuli, atau berkawan bebas, tetapi tidak mahu menegur kerana takut “menjaga tepi kain orang”. Akibatnya, masalah terus membesar dalam diam, kerana tiada pihak peduli atau mengambil tindakan awal.
Konsep saling menjaga dalam masyarakat Islam semakin terhakis. Masyarakat hidup dalam komuniti yang individualistik, hanya pentingkan diri, keluarga sendiri, dan urusan sendiri. Masyarakat juga lebih gemar menghukum daripada melihat langkat intervensi yang perlu diambil di dalam menangani permasalahan yang berlaku. Masyarakat juga dibayangi dengan dunia maya, lupa realiti. Dunia fizikal diabaikan kerana terlalu fokus kepada dunia digital. Ramai yang lebih prihatin terhadap isu viral dalam media sosial, tetapi tidak peka dengan anak-anak di kejiranan yang semakin liar dan mula rosak.
Kelesuan kepimpinan komuniti seperti ketua masyarakat, tok imam, pengerusi rukun tetangga atau persatuan penduduk tidak memainkan peranan aktif dalam mendidik dan membangunkan remaja. Surau dan masjid terlalu banyak program tetapi bukan program yang membangunkan dan memperbaiki permasalahan (berbentuk intervensi) yang berlaku pada sesuatu komuniti setempat.
Apakah langkah intervensinya?
1. Kembalikan fungsi rumah
Rumah bukan sekadar tempat berteduh, tetapi ia adalah madrasah pertama yang mencorakkan jatidiri anak-anak. Ibu bapa tidak menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik kepada sekolah atau guru sebaliknya sekolah dan guru-guru merupakan sistem sokongan utama buat ibubapa dalam membangunkan anak-anak. Merujuk kepada firman Allah SWT yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka…” (Surah At-Tahrim: 6)
Ayat ini menegaskan bahawa ibubapa adalah pendidik utama yang wajib mendidik anak-anak agar mengenal Allah, membentuk akhlak, dan menjauhkan mereka daripada maksiat.
Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud:
“Setiap anak yang lahir adalah dalam keadaan fitrah. Maka kedua ibu bapanyalah yang mencorakkannya…” – Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim
Rumah membentuk asas tauhid dan iman dalam diri anak-anak. Anak-anak mula mengenal siapa Tuhan mereka, keperluan solat, bersikap jujur mengerti tujuan hidup bermula daripada pendidikan di rumah. Hidupkan solat berjemaah, doa, berzikir dan baca al-Quran bersama sebagai asuhan spiritual awal yang menguatkan jiwa.
Rumah mengajar nilai dan akhlak seharian. Tempat anak melihat kasih sayang, tanggungjawab, amanah, dan adab, maka nilai-nilai ini akan tertanam dalam keperibadian mereka. Ibu Bapa adalah model terbaik buat mereka.
Rumah juga tempat membangunkan kecerdasan emosi (EQ) anak-anak. Jati diri anak-anak bukan hanya tentang ilmu dan ibadah, tetapi juga kekuatan emosi. Mereka mempelajari kaedah menangani tekanan, mengurus marah, kecewa, kecemburuan dan cara meluahkan perasaan sedih atau salah.
Semua ini terbentuk apabila ibu bapa mendengar luahan anak, memeluk saat mereka gagal, dan memberi ruang menyuarakan pandangan. Lantas rumah yang penuh komunikasi sihat akan melahirkan anak yang kuat dalaman dan tidak mudah terpengaruh.
Rumah juga membentuk disiplin dan tanggungjawab. Latihan untuk bangun awal, solat tepat waktu, kemas tempat tidur, hormat waktu makan, tolong kerja rumah merupakan didikan harian yang melatih disiplin. Anak yang terdidik dengan tanggungjawab kecil akan mudah menggalas tanggungjawab besar apabila dewasa. Inilah asas jati diri pemimpin, mereka belajar memimpin diri bermula daripada rumah tempat mereka dibesarkan.
2. Ibubapa perlu didik anak dengan ilmu
Sebagai ibubapa yang sedar anak-anak adalah amanah. Ramai ibu bapa hari ini berusaha bersungguh-sungguh untuk memberi pendidikan terbaik, makanan berkhasiat, dan keselesaan hidup kepada anak-anak. Namun, mereka lupa satu perkara asas, iaitu ilmu keibubapaan adalah fardhu ain, ianya wajib untuk mendidik anak dengan betul dan berpandukan Islam. Anak bukan hanya tubuh, tetapi juga jiwa, akal, dan roh dan semua ini memerlukan ilmu untuk membentuknya.
3. Guru Harus Berfungsi Sebagai Murabbi: Menyemai Jiwa, Membangun Ummah
Seorang murabbi bukan sekadar mengajar, tetapi membentuk keperibadian anak murid itu. Seorang guru memandang anak murid sebagai amanah, bukan beban. Guru tidak hanya mengajar fakta, tetapi menyemai nilai seperti sabar, hormat, jujur, bertanggungjawab dan cinta ilmu. Guru juga menegur dengan kasih, membimbing dengan sabar, dan menjadi model peribadi mulia di mata murid. Seorang murabbi hadir ke kelas dengan niat ibadah, mereka berdoa untuk anak muridnya. Mereka sabar apabila murid lemah, dan bersyukur apabila murid berjaya. Mereka menanamkan dalam hati murid bahawa ilmu adalah jalan menuju Allah, bukan sekadar A dalam peperiksaan. “Ilmu tanpa akhlak melahirkan bijak yang celaka. Tapi ilmu dengan tarbiah melahirkan jiwa yang bercahaya.”
4. Komuniti masyarakat mesti peduli dan ambil tahu
Dalam masyarakat Islam, anak-anak bukan hanya tanggungjawab ibu bapa, tetapi adalah amanah bersama seluruh komuniti. Anak yang membesar dalam masyarakat yang prihatin, peduli dan berakhlak, akan lebih mudah membesar sebagai insan soleh dan bertanggungjawab.
Anak-anak remaja kini mudah terdedah kepada gejala sosial seperti buli, ponteng, rokok, dadah, zina, pengaruh media sosial dan sebagainya, namun ibubapa tidak berupaya memantau anak-anak sepanjang masa. Maka komuniti (jiran, surau, pasar, kedai, cikgu KAFA, pakcik rukun tetangga) adalah mata tambahan buat ibubapa. Komuniti ini perlu menegur dengan hikmah bila perlu, memberi perhatian jika anak tersasar, menjadi tempat anak mengadu ketika tertekan dan menjadi contoh teladan yang baik buat anak-anak.
Anak yang membesar dikelilingi orang yang menjaga solat, jiran yang saling hormat dan menasihat, surau yang aktif dengan kuliah dan majlis ilmu, warga masyarakat yang menyantuni anak-anak dan remaja dengan baik dan penuh hikmah, akan membesar dalam suasana aman, sejahtera dan mencintai kebaikan. Kerana keadaan persekitaran yang baik berupaya membangunkan peribadi yang baik.
Shazamawati Zam Hashari
Ketua Wanita ISMA