Tugas Yang di-Pertuan Agong adalah berperanan untuk mengurus dan mentadbir agama Islam di negara Malaysia ini, begitu juga dengan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri yang akan mewakili Agong dalam mengurus dan mentadbir agama Islam di Negeri Sabah. Oleh yang demikian, secara konvensyen dan sewajarnya, TYT yang dilantik mestilah dikalangan Bumiputera Islam Sabah yang berwibawa.
Mengambil satu kenyataan daripada Presiden Persatuan Peguam Syarie Sabah, Abdul Razak Jamil, pelantikan TYT adalah mengambil kira agama negeri Sabah iaitu Islam seperti yang termaktub dalam Perkara 5 (A) Perlembagaan Negeri dan selayaknya ketua utama negeri Sabah adalah dikalangan orang Islam itu sendiri.
Malah lantikan secara konvensyen ini juga sebenarnya sudah berlaku sejak merdeka lagi dan tidak pernah berlaku apa-apa pun keadaan yang mengganggu gugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri yang tercinta ini.
Sebagai contoh, mengikut sejarah pelantikan TYT Sabah, terdapat 3 orang di kalangan mereka adalah terdiri daripada berbangsa Kadazan Dusun, dan dikatakan juga mereka pernah dilantik sebagai Huguan siou iaitu ketua agung masyarakat Kadazandusun dan Murut di Sabah. Namun, sebelum pelantikan mereka sebagai TYT, mereka sudah pun memeluk Islam atas peribadi masing-masing. Di antara mereka ialah, Tun Datuk Seri Panglima Muhammad Fuad bin Stephens, Tun Ahmad Koroh dan Tun Mohamad Adnan Robert.
Perlembagaan Negeri adalah sumber perundangan tertinggi yang perlu dipatuhi oleh badan perundangan negeri bagi menjamin perlindungan kepada setiap rakyat terhadap hak dan keistimewaan mereka.
Jika melihat komposisi penduduk muslim di Sabah yang meningkat saban tahun dan dikatakan sudah mencecah hampir 70%, ianya menunjukkan bahawa Ketua Negeri atau TYT Sabah perlu di kalangan mereka yang mendukung agenda Islam di negeri dan menjaga kebebasan agama lain dalam amalan mereka.
Justeru itu, peranan TYT sangat besar dalam mengangkat agenda ummah di negeri ini dan memastikan kesejahteraan dalam beragama dapat dipelihara dengan baik untuk masa depan rakyat akan datang.
Muhammad Nur bin Selamit
Yang Dipertua ISMA Sandakan