Ubatilah Akhlak Yang Semakin Tenat

Masyarakat kita sedang ‘tenat’ akhlaknya.

Rasa sedih dan geram dengan gelagat sebahagian masyarakat kita yang seakan-akan tidak ada sifat empati dalam diri.

Seorang guru yang dijadikan bahan tawa atas kesalahan tatabahasa Inggeris yang dituturnya, adalah kesan lunturnya akhlak masyarakat kita sekarang. Tenat nampaknya. Langsung tiada rasa bersalah dengan sifat kebudak-budakan mereka itu.

Walhal, guru adalah antara invididu yang amat dituntut untuk dihormati dan dimuliakan. Sebagaimana sabda Rasulullah:

ليس من أمَّتي من لم يُجلَّ كبيرنا، ويرحم صغيرنا، ويعرف لعالمنا

“Bukanlah dikalangan umatku mereka yang tidak memuliakan orang yang lebih tua, mereka yang tidak menyayangi anak-anak kecil, dan mereka yang tidak memberikan hak kepada guru kami.

(HR Ahmad)

Begitu didikan Rasulullah kepada para sahabat untuk kita contohi. Namun sekarang, jauh sekali akhlak ditunjukkan oleh masyarakat kita. Mengutuk, menjatuhkan maruah seseorang yang tidak dikenali dengan perkataan yang memalukan seakan-akan telah menjadi satu budaya baru dalam masyarakat.

Hampir semua ingin dijadikan bahan jenaka, gelak tawa dan ‘content’ video untuk di tularkan. Apakah mereka tiada ayah, ibu, adik atau kakak untuk ada rasa sekelumit kasihan jika perkara yang sama berlaku kepada orang yang kita sayang?

Jika tiada sokongan dari keluarga dan kenalan rapat, berkemungkinan besar mereka yang jadi bahan tular ini boleh depresi dan tertekan. Siapakah yang akan bertanggungjawab?

Kita sebagai masyarakat yang faham akan realiti ini, haruslah mendidik keluarga dan kenalan kita supaya budaya sebegini harus dijauhkan. Nasihatilah mereka untuk mewujudkan budaya saling membantu dan menyokong, sesama menghargai usaha orang lain dan berterima kasih atas pengorbanan yang dilakukan untuk kita.

Akhir sekali, marilah sama-sama berdoa agar diri kita dan anak-anak kita menjadi orang yang indah akhlaknya, sebagaimana doa yang sentiasa diamalkan oleh Rasulullah:

“Ya Allah, sebagaimana Engkau menciptakanku dengan baik, maka perbaikilah akhlakku.” (HR Ahmad)

Mohammad Firdaus Bin Muhammad

YDP ISMA Kemaman

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat