إِنَّ ٱللَّهَ يُدَٲفِعُ عَنِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ خَوَّانٍ۬ كَفُورٍ (٣٨)
أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَـٰتَلُونَ بِأَنَّهُمۡ ظُلِمُواْۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ نَصۡرِهِمۡ لَقَدِيرٌ (٣٩)
ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَـٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَہُم بِبَعۡضٍ۬ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٲمِعُ وَبِيَعٌ۬ وَصَلَوَٲتٌ۬ وَمَسَـٰجِدُ يُذۡڪَرُ فِيہَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ ڪَثِيرً۬اۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُ ۥۤۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِىٌّ عَزِيزٌ (٤٠)
Maksudnya : Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang telah beriman. Sesungguhnya Allah tidak menyukai tiap-tiap orang yang berkhianat lagi mengingkari nikmat. [38] Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya. Dan sesungguhnya Allah, benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu [39] (iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, hanya kerna mereka berkata: “Tuhan kami hanyalah Allah”. Dan sekiranya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah akan roboh biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa [40]
(Surah al-Hajj: 38-40)
Meremang bulu roma saya apabila mendengarkan ayat al-Quran surah al-Hajj ayat 38-40 ini dibacakan sewaktu himpunan Ulama tergempar secara atas talian anjuran Lembaga Ulama Palestin pada dua Oktober lepas. Ayat yang menggambarkan keizinan Allah kepada orang beriman untuk berperang apabila mereka dizalimi dan dikhianati itu benar-benar menyentuh hati seolah-olah menggambarkan realiti umat hari ini yang sedang berdepan kezaliman paling dahsyat di bumi Palestin dan pengkhianatan orang-orang yang diharapkan pertolongan dari mereka.
Jambatan antara ulama dan ummah dalam membincangkan isu umat adalah sangat penting. Lembaga Ulama Palestin mengambil tanggungjawab melaksanakan program ini bagi menyampaikan pendirian ulama dalam isu-isu umat Islam.
Himpunan ini bertujuan untuk memperdengar pendirian-pendirian ulama seluruh dunia mengenai plan damai yang dicadangkan oleh Presiden Amerika, Donald Trump sebagai jalan penyelesaian isu Palestin kepada seluruh umat Islam.
Berikut adalah sedikit dapatan yang dapat saya kongsikan:
Ummah di Medan Pertarungan Nilai
Dunia hari ini sedang menyaksikan satu pertarungan nilai yang sangat jelas. Nilai fujur (menghalalkan perkara yang haram) sedang melawan takwa, nilai sombong melawan nilai iman. Kita sedang berada dalam fasa sejarah yang neraca nilai tidak lagi samar. Segala yang batil kini tampil tanpa malu, dan segala yang haq diuji dengan berat. Dalam keadaan begini, Kita hanya punya dua pilihan sama ada berdiri bersama kebenaran atau tunduk di bawah kezaliman. Pertembungan hak dan batil inilah yang melatari isu Palestin hari ini.
Plan Trump-Gaza: Penjajahan yang menghinakan
Para ulama bersepakat bahawa “Plan Trump” yang kononnya untuk perdamaian hanyalah helah politik. Ia bukan perjanjian damai, tetapi strategi untuk menghapuskan Palestin secara berperingkat. Perjanjian itu tidak adil sejak dari asasnya di mana :
• Israel tidak dikenakan sebarang syarat.
• Semua tekanan dan beban diletakkan atas bahu Palestin, khususnya terhadap Hamas.
• Mereka dipaksa menyerahkan senjata, seolah-olah menyerahkan maruah dan hak mempertahankan diri.
Sedangkan dalam sejarah dunia, tiada bangsa yang bebas dengan menyerah diri. Tiada tanah yang merdeka dengan tunduk kepada penjajah. Dan tidak ada maruah yang lahir daripada perjanjian yang menindas.
Bangsa Palestin: Simbol Keberanian dan Kecerdikan
Bangsa Palestin bukan bangsa lemah seperti yang sering digambarkan oleh media Barat. Mereka antara bangsa Arab-Muslim yang paling berilmu, terpelajar, dan berdisiplin. Di Gaza, lahir ribuan graduan universiti, doktor, jurutera, dan ahli sains, walau di bawah kepungan bertahun-tahun. Palestin tidak memerlukan “board of peace” atau penasihat teknokrat dari luar.
Mereka tahu bagaimana untuk membangunkan negara mereka asalkan satu perkara dipenuhi iaitu penjajah mesti keluar dari bumi Palestin. Perjuangan Palestin bukan tentang politik, bukan tentang kuasa, tetapi tentang maruah manusia dan hak yang dirampas. Inilah yang membezakan mereka daripada musuh.
Strategi Musuh: Dari Perang-Menang ke Perdamaian Menghinakan
Plan Trump-Gaza strategi baharu yang sedang digunakan oleh Zionis dan sekutunya. Dahulu mereka menempuh Harbun Mujalliyah — perang sampai menang. Namun setelah berulang kali gagal menundukkan Gaza melalui kekuatan senjata, kini mereka beralih kepada Silmun Mukhzi — perdamaian yang menghinakan. Ini adalah bentuk baharu penjajahan, musuh menyorok di sebalik istilah “keamanan”, “pembangunan” dan “perdamaian.” Namun hakikatnya, ini adalah satu bentuk penindasan yang lebih halus dan licik.
Pendirian Muqawamah Tetap Teguh
Namun di sebalik segala tekanan dan sekatan, pendirian muqawamah tetap teguh. Mereka tidak berganjak walau seinci. Bagi mereka, kemenangan atau kesyahidan adalah dua pintu kemuliaan. Dr. Nawaf, Pengerusi Lembaga Ulama Palestin menegaskan bahawa umat Islam mesti berdiri bersama perjuangan ini bukan sekadar dengan kata-kata, tetapi dengan doa, kesedaran, dan tindakan yang menyokong kekuatan umat. Kita mesti menyedari bahawa medan pertempuran hari ini bukan hanya di Gaza, tetapi juga di medan nilai dan kesedaran. Siapa yang berjaya menanam nilai takwa dan keberanian dalam jiwanya, dialah sebenarnya tentera Allah di zaman ini.
Ummah pada proses pembezaan dan penyaringan
Hari ini merupakan “Lahzah fariqah” iaitu hari-hari Allah membezakan antara kebenaran dan kebatilan, antara yang setia dan yang berkhianat dan antara yang berjuang atau yang berpeluk tubuh.
Jika umat terus lalai, maka kita akan terseret dalam arus Silmun Mukhzi — perdamaian yang menipu. Tetapi jika kita memilih untuk berpegang pada nilai iman dan perjuangan, maka kita akan melihat janji Allah itu nyata:
Maksudnya : Dan sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuasa untuk menolong mereka
(Surah al Hajj: 39)
Palestin telah memilih jalannya iaitu jalan perjuangan.
Kini, persoalannya , kita di pihak mana? Semoga kita terus sumud dengan agenda Muqamah sehingga Palestin bebas merdeka.
Ibrahim Allam Said
Timbalan Pengerusi Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Cawangan Kuala Lumpur