
MELAKA, 23 Januari– Usaha membangkitkan kesedaran sejarah dan memperkukuh jati diri generasi muda diterjemahkan menerusi program UMMAH RISE: Kebangkitan Generasi Pewaris, sebuah jaulah ilmiah ke negeri Melaka anjuran ISMA Kuala Pilah yang berlangsung pada 20 Rejab yang lalu.
Program tersebut melibatkan 22 orang peserta, termasuk 16 orang mahasiswi dari daerah Kuala Pilah, dengan objektif memberi pendedahan kepada peserta mengenai kegemilangan tamadun Islam dan peranan umat Islam sebagai peneraju pembangunan masyarakat pada masa kini.
Menurut pengarah program, Dr. Khairun Najwa Adnan, jaulah ini dirangka bagi membolehkan peserta menelusuri bukti nyata penjajahan dan penjarahan tanah air.
“Kita ingin membangunkan kesedaran untuk memelihara kedaulatan negara serta memupuk semangat ukhuwah dan kerja berpasukan dalam kalangan generasi muda.



“Sepanjang jaulah, para peserta dibawa melawat beberapa lokasi bersejarah utama di Melaka termasuk Bukit Melaka, Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka, Muzium Samudera Fasa I (Flor de la Mar), Muzium Samudera Fasa II serta Muzium Tentera Laut Diraja Malaysia,” katanya.
Lawatan tersebut memberi gambaran jelas tentang kegemilangan Tamadun Melayu Islam yang suatu ketika dahulu menjadi tumpuan kuasa asing kerana kemajuan perdagangan, kekayaan sumber asli dan kedudukan strategik Melaka.
Pada masa yang sama, peserta turut didedahkan kepada pengajaran sejarah mengenai faktor kejatuhan Melaka, yang antaranya berpunca daripada kelemahan jati diri bangsa dan agama serta kecintaan melampau terhadap dunia, sekali gus menjadi peringatan penting buat generasi hari ini.



Program diteruskan dengan sesi pengisian di Pusat Komuniti Islam Melaka Tengah, yang disampaikan oleh wakil ISMA Melaka Tengah, Puan Siti Normah Yusup. Perkongsian tersebut menekankan keperluan membangkitkan semula semangat kepimpinan Islam dan memperkukuh jati diri bangsa Melayu sebagai pemimpin masa hadapan.
Bagi mengukuhkan penglibatan peserta, beberapa tugasan interaktif turut dilaksanakan sepanjang jaulah termasuk aktiviti Know Your Travel Buddies, Kapsul Kata serta pertandingan Lensa Hikayat. Pertandingan tersebut menguji kepekaan peserta terhadap nilai sejarah melalui penghasilan gambar dan kapsyen bermakna, dengan tiga penyertaan terbaik menerima hadiah istimewa dan akan dikongsikan menerusi platform media sosial ISMA Kuala Pilah.
Program diakhiri dengan sesi refleksi peserta yang berkongsi pengajaran dan pembelajaran sepanjang jaulah, khususnya berkaitan peranan mahasiswa sebagai agen perubahan dan pewaris kepimpinan negara.
“Kami berharap penganjuran program seumpama ini dapat menyemai rasa cinta kepada tanah air, menyuburkan semangat kepimpinan serta meningkatkan daya juang mahasiswa untuk terus memperbaiki diri demi melahirkan pemimpin berkualiti buat Malaysia pada masa hadapan”, katanya lagi.


