JENDERAM HILIR, 16 Mac – Program Tadarus Kanak-Kanak yang dianjurkan di Surau Al-Hidayah sepanjang bulan Ramadan terus mendapat sambutan menggalakkan daripada anak-anak ahli kariah setempat.
Program yang dilaksanakan selepas solat tarawih itu merupakan hasil kerjasama antara Surau Al-Hidayah dan Unit Komuniti ISMA Sepang, sebagai usaha bersama dalam membina generasi muda yang celik al-Quran serta membiasakan anak-anak dengan suasana ibadah di surau sepanjang Ramadan.
Menurut AJK Unit Komuniti ISMA Sepang, Ustaz Ismail Muhammad Juffri, program tersebut disertai seramai 23 orang kanak-kanak, terdiri daripada 17 orang lelaki dan 6 orang perempuan yang semuanya merupakan anak-anak ahli kariah.
Bagi memastikan setiap peserta mendapat bimbingan yang sewajarnya, seramai enam orang pembimbing dilantik untuk mengendalikan sesi tadarus. Barisan pembimbing ini terdiri daripada tiga pembimbing lelaki dan tiga pembimbing perempuan, yang memantau bacaan serta membantu memperbaiki tajwid dan kelancaran bacaan para peserta.
Sehingga kini, sudah 13 sesi tadarus, dengan setiap sesi memberikan peluang kepada kanak-kanak untuk membaca al-Quran secara berkumpulan dalam suasana yang lebih tersusun dan kondusif.
Selain meningkatkan kemahiran membaca al-Quran, program ini juga berjaya menanam minat kanak-kanak untuk hadir ke surau dan mengisi malam Ramadan dengan aktiviti yang bermanfaat.
Salah seorang peserta, Daiyan Arsyad bin Mohd Fariq Azaimi, 11 tahun, meluahkan rasa gembira dapat menyertai program tersebut.
“Saya seronok datang tadarus sebab dapat baca Al-Quran sama-sama dengan kawan-kawan. Pembimbing juga ajar kami cara baca dengan lebih betul. Saya harap program ini dapat diteruskan dan lebih ramai kawan-kawan datang menyertai,” katanya.
Pihak penganjur berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan agar lebih ramai kanak-kanak dapat dibimbing menjadi generasi yang mencintai al-Quran serta aktif mengimarahkan rumah Allah, khususnya sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.


