Ustaz Ismail Kamus, sindirannya tajam tapi mendidik

Hari ini umat Islam Malaysia menerima berita sedih berkenaan pulangnya ke rahmat Allah Al-Fadhil Ustaz Ismail Kamus.

Sesiapa yang seusia dengan saya atau yang lebih tua, sudah tentu sebahagian dari hidupnya dihiasi dengan celoteh taujihat Ustaz Ismail Kamus melalui rakaman-rakaman ceramahnya yang banyak.

Ustaz Ismail Kamus adalah antara insan unik di tahun 80an -90an. Tanpa youtube, fb, instagram tanpa smartphone, ceramahnya tersebar ke seluruh Malaysia melalui kaset-kaset yang dijual di kedai-kedai buku agama, di masjid-masjid, di perhimpunan dan sebagainya.

Tiada jualan online untuk semua itu. Satu kaset dalam RM 5 rasanya. Panjangnya 60 minit. Perlu dijaga dengan baik sebab mudah sangkut atau pecah.

Ceramahnya diulang-ulang dengar berkali-kali sehingga ada yang boleh hafal intonasi dan kalimahnya. Sindirannya tajam tapi mendidik,  yang paling saya ingat beliau mengkritik orang Islam yang menghabiskan masa ke pasar malam berjam-jam, bila keluar hanya bawa apam balik.

Ustaz Ismail Kamus adalah antara contoh ilmuwan Islam bukan Profesor, bukan pemegang PhD tetapi taujihatnya masuk ke jiwa masyarakat dengan baik. Ilmunya adalah amalannya, mungkin itu yang menjadikannya berkat sehingga memberi kesan kepada masyarakat.

Moga Allah merahmati ruhnya dan menempatkannya di dalam syurga Firdaus.

Dari Allah kita datang, kepada Allahlah kita kembali.

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni 

Timbalan Presiden Isma 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat