Video Montaj VM2026: Dimana Islam dan Melayu sebagai Identiti Nasional?

1. Video Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang diluncurkan baru-baru ini tidak menonjolkan imej Islam dan Melayu adalah satu bentuk pengabaian terhadap identiti nasional dan langsung tidak boleh diterima. Malaysia adalah negara Islam yang berakar umbi pada akar identiti Melayu, dan meminggirkan elemen ini dalam video kempen pelancongan adalah tindakan yang memalukan, tidak bertanggungjawab, dan menunjukkan kegagalan dalam memahami jiwa negara.

2. Islam dan Melayu bukan sekadar elemen budaya; ia adalah teras kepada identiti nasional Malaysia. Menghapuskan elemen ini dalam promosi antarabangsa sama seperti menafikan akar sejarah dan maruah bangsa. Adakah kita ingin dilihat sebagai negara tanpa hala tuju demi kepentingan pelancongan? Ini adalah penghinaan kepada majoriti rakyat dan asas Perlembagaan Negara. Dengan tidak menonjolkan imej Islam dan budaya Melayu, kita menghantar mesej yang salah kepada dunia, seolah-olah Malaysia tidak menghargai atau berbangga dengan akar budayanya yang asal.

3. Dunia mengiktiraf Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan Islam. Menafikan elemen ini dalam video kempen pelancongan bukan sahaja mencacatkan keunikan negara, tetapi juga mengabaikan peluang strategik dalam sektor pelancongan halal. Ia menunjukkan kurangnya wawasan dan sikap tidak peduli terhadap potensi ekonomi negara.

4. Rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Islam dan Melayu, berhak melihat identiti mereka dihormati dan diangkat. Kegagalan untuk menonjolkan unsur-unsur ini dalam kempen adalah satu tamparan kepada aspirasi majoriti rakyat dan mengguris perasaan mereka.

5. Kepelbagaian tidak bermaksud mengabaikan identiti utama negara. Walaupun penting untuk menunjukkan kepelbagaian etnik Malaysia seperti Cina, India, dan komuniti lain di Sabah dan Sarawak, menonjolkan imej Islam dan Melayu tidak bermakna mengabaikan yang lain. Sebaliknya, ia menambah dimensi kepada naratif negara, menjadikannya lebih kaya dan menarik.

6. Keputusan untuk mengabaikan imej Islam dan budaya Melayu dalam video kempen ini tidak boleh dianggap sebagai kesilapan teknikal. Ia adalah tindakan yang menunjukkan pengabaian terhadap sensitiviti rakyat dan identiti negara. Tiada alasan yang boleh diterima untuk keputusan ini, dan pihak terbabit mesti bertanggungjawab.

7. Aspirasi video kempen ini dan kandungannya mesti dirombak untuk mencerminkan identiti Malaysia yang sebenar: sebuah negara Islam yang berbangga dengan warisan Melayu. Maruah dan identiti negara bukan sesuatu yang boleh dikompromi atau dijadikan bahan eksperimen. Tiada tolak ansur.

Ustaz Shuhaib ar-Rumy Selamat
Presiden ISMA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat